Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKehadiran program diskusi sastera dalam talian dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan, terutamanya apabila menjadikan media sosial sebagai medium penyampaian. Oleh itu, CangkirPena yang merupakan Kelab Penulis DBP turut mengambil kesempatan tersebut dengan mengadakan program diskusi sastera melalui laman Facebook CangkirPena, iaitu “Sembang Cangkir”. Pada siri pembukaan pada kali ini, “Sembang Cangkir” menampilkan Saifullizan Yahaya sebagai pembicara, manakala Hafizul Osman bertindak sebagai pencelah dan Zaharahanum Kamarudin sebagai penyoal. Program tersebut diadakan pada 9 Julai 2021, pukul 9 malam.
Saifullizan Yahaya merupakan antara penulis prolifik yang amat dikenali dalam dunia sastera tanah air, termasuk dalam kalangan penulis pemula. Beliau mula mencintai sastera sejak dari bangku sekolah lagi. Amat jarang-jarang untuk melihat anak muda mencintai sastera dengan begitu mendalam sehinggakan mampu menghasilkan puisi yang bertajuk “Dia Seorang Kawan” dan berjaya tersiar dalam majalah Dewan Siswa pada ketika itu. Yang membanggakan ialah apabila puisi beliau mendapat ulasan positif daripada A. Rahim Abdullah. Apabila ditanyakan tentang bagaimanakah beliau menghasilkan karya kreatif pada usia muda sebegitu dan beliau menjawab dengan nada bersahaja bahawa beliau menjadikan buku latihan sekolah untuk mencatat segala idea yang muncul.
Sebagai seorang penulis, sudah semestinya mempunyai impian untuk melihat karya yang dihasilkan berjaya meraih kejayaan. “Hingga tahun 2020, saya berjaya memenangi 26 hadiah sastera dan terbaharu ialah “Cetera di Jalan Kampung Kuil” melalui Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA,” ujar Saifullizan yang juga merupakan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP.
Saifullizan turut berkongsikan antara karya terbaharu beliau yang berjudul Memberikan Telinga, terbitan Studio Anai-Anai yang dihasilkan ketika negara sedang dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020. Nur Muhammad merupakan antara pelayar yang bertanya kepada Saifullizan tentang unsur yang disampaikan dalam penghasilan cerpen. Menurut Saifullizan, “Saya amat meminati novel genre penyiasatan sejak dari bangku sekolah lagi. Oleh itu, mungkin minat tersebut mempengaruhi setiap karya yang dihasilkan.”
Apabila ditanyakan tentang harapan Saifullizan kepada penulis di luar sana, terutamanya penulis pemula. Beliau berkongsikan antara kata-kata daripada Datuk Hassan Ahmad ketika berbual bersama-sama Sasterawan Negara Usman Awang, “Di Malaysia, masih tidak ada lagi karya besar yang dapat mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Jika ada sebuah karya besar yang dapat diangkat di peringkat antarabangsa, sudah pasti bahasa Melayu juga akan dikenali.” Karya besar yang dimaksudkan ialah karya yang mampu mencetuskan revolusi dari segi pemikiran dan keberanian yang luar biasa. Oleh itu, penulis pemula seharusnya berani untuk menghasilkan karya yang berjaya mencetuskan revolusi.
Sebagai tanda sokongan terhadap program sastera tanah air, pelayar boleh mengikuti laman Facebook CangkirPena untuk mengikuti “Sembang Cangkir” dan program terkini yang akan dianjurkan kelak.
