Oleh Miss Jericle
8 Julai 2021, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedah – Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama rakan strategik Alumni Bengkel Puisi Merdeka dan Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) menganjurkan Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 10.0.

Program yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook PEMUISI BERKARYA pada 7 Julai, pukul 8.30 malam ini turut mendapat sokongan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penaja.

Pada acara pembukaan, pemuzik, Yuzailan Yunus berjaya memukau penonton dengan sentuhan magis irama Ponti Anak. Kemudian, persembahan diteruskan dengan dendangan “Syair Kedah Darul Aman” oleh pelajar dari UUM, Raja Nurul Farhana.

Persembahan pembukaan.

Turut hadir secara dalam talian ialah YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI, Sasterawan Negara YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan, YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, YBhg. Datuk Haji Abdul Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman dan Asmawiza Haji Hussin.

Persembahan syair.

Program yang berlangsung selama tiga jam ini menampilkan pendeklamasi juga pemuisi luar negara antaranya Yose S.Beal, Ibu Lenggo Geni dari Indonesia, dan Liu Xiyue dari China.

Turut mewarnai sesi Sanggar Puisi ialah Tuan Rusdi Mohamad Noor, Dr. Mohammad Fuad Bebit, Hanna Aleesya, Emmolia Estiningtyas serta banyak lagi penggiat sastera tempatan, sama ada mapan atau baharu.

Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman melalui slot canai puisi, “Bahasa dalam Sastera” menyebut, “Sastera ialah karya yang indah dan bermanfaat. Secara lazimnya, yang dikatakan indah itu terletak dari aspek penggayaan dan pengolahan bahasanya.”

Sambungnya lagi, “Bagi karya yang berfaedah pula dinilai berdasarkan ungkapan idea, pemikiran, falsafah yang ingin disampaikan oleh penulis. Bahasa menjadi medium penulis mendekati kelompok pembaca sastera untuk tujuan di atas.”

Program ini dihoskan secara bersama-sama oleh Harlym Yeo dan Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail. Program bual bicara santai ini diadakan pada setiap bulan secara dalam talian melalui Facebook PEMUISI BERKARYA.

Siri ke-11 yang akan berlangsung pada 8 Ogos ini bakal menampilkan YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dalam slot canai puisi yang membincangkan, “Puisi dan Kemerdekaan”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.