Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Biro Pendidikan, Badan Keluarga DBP telah menubuhkan Kelab Penulis DBP yang keahliannya terbuka kepada staf DBP, sama ada yang bertugas di ibu pejabat atau cawangan.
Idea asal penubuhan kelab ini daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.
Setakat ini, Kelab Penulis DBP diuruskan oleh jawatankuasa sementara yang diketuai oleh Hafizul Osman, Perancang Bahasa di Bahagian Ensiklopedia, DBP dan juga penulis muda yang prolifik.
“Kelab Penulis DBP sudah merangka beberapa program seperti sesi perkongsian penulisan, sesi bedah karya dan diskusi dalam pelbagai bidang dan isu,” ujar Hafizul ketika ditanya mengenai perancangan jangka pendek kelab ini.

Hafizul Osman.
Bagi sesi pengenalan, kelab ini akan menganjurkan program “Sembang Cangkir” yang menampilkan Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP serta penulis tersohor dan prolifik sebagai pembicara.
Selain itu, turut ditampilkan juga Zaharahanum Kamarudin, Editor Buku Sastera, DBP yang juga mantan Editor Dewan Sastera sebagai penyoal dan Hafizul sendiri sebagai pencelah.

Menurut Hafizul lagi, “program ‘Sembang Cangkir’ ini diadakan dengan mengetengahkan konsep bual santai secara maya dalam media sosial. Tujuannya untuk memberikan peluang kepada para karyawan DBP berkongsi pengalaman penulisan kreatif mereka atau berdiskusi mengenai isu lain.”
Program “Sembang Cangkir” buat pertama kali akan bersiaran secara langsung melalui Facebook CangkirPena, pada 9 Julai 2021, pukul 9.00 malam.