Oleh Miss Jericle
7 Julai 2021, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Program sembang santai ilmiah “Cakap Apa Saja” merupakan inisiatif Nuha Books yang membicarakan isu seputar dunia pembukuan, penerbitan, penulisan, sastera, seni dan budaya. Sembang santai pada kali ini membicarakan tentang buku Kumpulan Puisi Cinta adalah Sebuah Hamparan Sepi yang berlangsung pada 5 Julai 2021, pukul 9 malam.

Rozlan yang merupakan hos bersama program ini mengatakan bahawa penghasilan kumpulan puisi ini patut diberikan pujian kerana berjaya dihasilkan  dalam keterbatasan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan penulis hanya boleh bertemu dan berbincang melalui alam maya.  Kolaborasi ketiga-tiga sahabat iaitu Ghazali Sulong, Hanom Ibrahim dan Zulkifli Mohamed telah berjaya menghasilkan sebuah naskah menarik yang akan mewarnai ranah sastera tanah air.

Menurut Dr. Lim Swee Tin yang menulis kata pengantar buku ini, “ketiga-tiga penulis ini mempunyai pelbagai pengalaman dan rencah rasa dalam berkarya dan hal ini menjadikan mereka pencatat waktu dan perakam peristiwa melalui karya-karya mereka. Lebih dari itu, karya ini bukanlah catatan kosong kerana penulis juga berjaya menyuntik pemikiran mereka dalam karya untuk dinikmati oleh peminat puisi tanah air.”

“Karya Ghazali Sulong dilihat banyak menyelitkan unsur sinis yang bertujuan mendidik. Antaranya puisi berjudul “Antara Payung dan Perempuan”, “Bicara Kamar” dan “Jendela Sebelum Malam”. Puisi-puisi ini terhasil berdasarkan pemerhatian yang mendalam daripada kaca mata pengarang terhadap hal-hal yang berlaku di sekitar beliau, ujar Nasser ketika mengulas karya Ghazali Sulong.

Hanom Ibrahim pula tampil dengan puisi-puisi yang merangkumi perasaan dan emosi seorang pengarang wanita. Meskipun puisinya bernada melankolik, tetap rasional dan mengajak pembaca untuk berfikir. Yang menariknya, Hanom juga berjaya menghasilkan puisi di luar negara dan menjadikan Birmingham sebagai latar puisi beliau.

Berbeza pula dengan dua pengarang sebelumnya, puisi Zulkifli Mohamed dilihat lebih ringkas dan menjaga ruang dari segi penggunaan kata. Tanpa huraian panjang lebar mahupun ucapan berjela, pemikiran dan perasaan Zulkifli dizahirkan dengan begitu baik. Di akhir karya tersebut, pembaca akan dapat menikmati sebuah hidangan sastera yang mengenyangkan jiwa.

Sesi mingguan ini yang berlangsung pada setiap Isnin, pukul 9 malam boleh ditonton melalui siaran langsung laman Facebook Nuha Books. Program ini dihoskan bersama oleh Mohamed Nasser dan Rozlan Mohamed Noor.

Program sembang santai ini berlangsung pada setiap Isnin, pukul 9 malam.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.