Oleh Orked Una
6 Julai 2021, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  5 Julai 2021, Program Diskusi Ilmu, Resensi Buku Melalui Video: Alternatif Baharu Mengenal Buku telah berlangsung pada pukul 10 pagi menerusi Studio Siaran Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sesi ini dibawakan khas oleh Bahagian Ensiklopedia DBP bersempena Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2021. Program ini menampilkan barisan panel yang berpengalaman dalam bidang resensi buku dengan menggunakan medium video iaitu Nazlie Amri Abdul Rahim, wakil Book Surgeon dan Hafiz Latiff, wakil Persatuan Booktube Malaysia serta Baiduri Mohamed Rosli yang berperanan sebagai moderator.

Menjawab persoalan utama mengenai kepentingan alternatif baharu ini, Hafiz berkongsi bahawa resensi buku menggunakan medium video di media sosial merupakan usaha bagi mencapai khalayak pembaca yang lebih meluas. Hal ini dikatakan demikian kerana video dapat disasarkan kepada khalayak spesifik dan menjadikan buku-buku dekat dengan pembaca, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, Nazlie turut berkongsi tentang mengapakah ulasan dan kritikan buku adalah penting. Sejajar dengan misi Book Surgeon iaitu ingin memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pembaca iaitu dengan mendidik pembaca supaya berupaya untuk berfikir dengan kritis, jujur dengan pendapat diri sendiri, berani untuk tidak setuju dengan penulis dan mampu mengembangkan idea berdasarkan dapatan pembacaan mereka. “Di Book Surgeon, kami aktif untuk menghasilkan video-video pendek resensi buku untuk khalayak pembaca,” tambah beliau.

Perkataan booktube merupakan gabungan daripada perkataan book dan platform awal yang digunakan iaitu Youtube. Sebagai salah seorang pengasas persatuan Booktube Malaysia, Hafiz turut berkongsi bagaimanakah komuniti mereka aktif membincangkan kaedah untuk memantapkan kualiti resensi video yang mereka hasilkan daripada persembahan, kandungan dan isu teknikal.

Antara kriteria untuk menjadi booktuber ialah mempunyai personaliti yang menarik. Kesemua moderator dan panel bersetuju bahawa menjadi diri sendiri merupakan aset penting dalam menjadi booktuber yang unik. Mengenali kelebihan masing-masing dan fokus tentang kandungan yang ingin disampaikan dapat membantu booktuber untuk menembusi media sosial.

Secara ringkas, proses menghasilkan video resensi buku dimulakan dengan membaca buku, memilih isi menarik untuk dibincangkan, merekod video, membuat suntingan dan kemudiannya memuat naik video menerusi platform media sosial yang dipilih.

Program tersebut turut membincangkan tentang persediaan yang harus dilakukan oleh booktuber.  Antara persediaan sebelum merekod video ialah menyediakan peralatan rakaman, aplikasi suntingan dan penyediaan skrip. Selain itu, latihan penyampaian di hadapan kamera perlu dilakukan supaya mesra kamera dan fasih dalam penyampaian.

Durasi video yang sesuai bergantung kepada kandungan, kupasan isu, platform media sosial dan penonton sasaran. Selain itu, para panel turut berkongsi tentang kesesuaian durasi video yang disarankan iaitu minimum satu minit atau di bawah durasi lima minit. Video juga boleh dihasilkan secara bersiri dan disiarkan dengan sela masa pendek. Suntingan video boleh dilakukan dengan mudah menggunakan telefon pintar. Di Book Surgeon, mereka mempunyai barisan editor khas untuk menyunting video secara kreatif.

Yang menariknya, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan turut menyatakan bahawa usaha resensi buku tersebut sangat besar sumbangannya kepada dunia penulisan. Alternatif ini penting untuk menjamin masa hadapan buku dan industri pembukuan. Selain itu, Dr. Haryatie Ab Rahman turut berkongsi bahawa sebagai pengulas, mereka seharusnya lebih kritis dalam mengulas atau mengkritik sesebuah karya atau buku.

Sebagai usaha untuk mendekati pembaca dalam situasi pandemik COVID-19 ini, Perpustakaan Desa PNM Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang turut berkongsi bahawa resensi buku melalui video sangat diperlukan sebagai usaha untuk mempromosikan koleksi bahan bacaan secara dalam talian.

Program ini mendapat sambutan penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Turut hadir memberi sokongan ialah penggiat aktif industri pembukuan dan perpustakaan seluruh negara. Kepada yang berminat untuk menjadi salah seorang komuniti Booktube Malaysia, boleh layari laman sesawang www.booktubemy.com dan kepada yang ingin menjadi salah seorang pembentang di Book Surgeon, boleh berkunjung ke laman Facebook Book Surgeon.

Program tersebut diadakan bersempena Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2021.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.