Oleh Miss Jericle
6 Julai 2021, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Studio Pesona DBP melalui slot Bicara Karyawan telah mengundang Radzemah Bolhassan, editor dan juga salah seorang penulis Antologi Cerpen: Juita Dua Hati untuk membicarakan tentang karya tersebut. Program yang menampilkan Rafiq Rahman sebagai moderator ini telah disiarkan secara langsung melalui media sosial rasmi DBP pada 5 Julai 2021, pukul 12.00 tengah hari.

Antologi ini merupakan gabungan penulis dari Sarawak, iaitu sebanyak enam orang kesemuanya dan memuatkan 21 buah cerpen.

Tema antologi ini mengangkat kekuatan wanita. Judul antologi ini pula dipilih daripada salah satu cerpen yang berkisarkan kekuatan seorang wanita membesarkan dua orang anak perempuannya.

Selain menyasarkan pembaca daripada kelompok remaja, buku ini tentunya sesuai dibaca oleh khalayak umum yang meminati karya yang menggabungjalinkan penulis baharu dan mapan.

Radzemah menyebut bahawa kesungguhan penulis muda yang berkolaborasi dalam antologi ini tidak sepatutnya berhenti sekadar naskhah ini sahaja, malah usaha ini harus menjadi titik tolak dalam mengetengahkan idea baharu yang lebih segar untuk dimuatkan dalam penulisan akan datang.

Usaha ini sangat baik kerana berjaya mengetengahkan muka-muka baharu dalam dunia sastera, selain memperkenalkan budaya tempatan. Contohnya, salah satu cerpen karya Naziah Naziri mempromosikan budaya makanan tempatan, iaitu laksa Sarawak.

Cerpen nukilan Siti Norhidayah Ismail pula mengangkat keistimewaan seni seramik Sarawak. Menurut Radzemah, beliau sendiri menulis beberapa buah cerpen untuk antologi ini yang bertajuk “Jermal”, “Cari” dan “Jerunai”.

Dalam antologi ini turut diangkat kisah Dayang Santubong dan Dayang Sejinjang melalui cerpen berjudul “Waris Pak Mukun dan Mak Gendang”, oleh Dayang Mary Marlini.

Penulis lain yang turut sama berkolaborasi dalam antologi ini ialah Frankie Latit. Antara cerpen Frankie Latit yang dimuatkan bertajuk “Kelopak Obesisi di Taman Bahari” yang mengisahkan perebutan pemilikan yang hanya seluas sekaki persegi.

Frankie Latit.

Radzemah yang dikenali sebagai penulis prolifik genre sejarah mengatakan, peralihan fokus beliau ke arah genre perjuangan merupakan sesuatu yang mencabar, namun tidak menafikan perkara itu harus dilakukan mengikut peredaran masa dan kehendak pembaca.

Kongsinya lagi, “Sebagai penulis, saya juga giat beraktiviti melalui Kelab Penggiat Sastera Sarikei (Kepessa) sebagai satu wadah melahirkan penulis baharu untuk sama-sama mewarnai ranah sastera tanah air. Peluang ini harus diambil oleh penulis muda, terutamanya penulis Sarawak untuk bersama-sama Kepessa menggilap bakat kepengarangan, bagi menyambung legasi penulis veteran.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.