Oleh Orked Una
3 Julai 2021, 20:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, Rumah penerbitan Katapilar meneruskan lagi siri Medik Katapilar. Program yang bermula pada pukul 9.15 malam, disiarkan melalui platform media sosial Twitter Space.

Sesi kali ini menampilkan para penulis buku Aku Dijangkiti Kehidupan. Mereka terdiri daripada pesakit, doktor dan perawat psikiatri untuk berkongsi pengalaman mereka dalam bentuk penulisan.

Sumber: Google

Buku Aku Dijangkiti Kehidupan ditulis untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada orang awam bahawa pesakit mental juga boleh menangani masalah mereka sendiri.

Penulis yang terlibat ialah Faris Nazrin, Dura Ain, Dr. Zul Azlin dan Dr. Fadh Razy. Mereka berkongsi tentang diagnosis penyakit, cara menangani penyakit, pengurusan stres semasa pandemik dan bagaimana orang awam boleh mendapatkan rawatan.

Dr. Fadh Razy yang bertugas di bahagian Primer juga merupakan penyelenggara buku Aku Dijangkiti Kehidupan. Beliau mengatakan, orang awam yang mempunyai simptom penyakit mental atau telah mengisi borang penilaian DAAS (Borang Ujian Kesihatan Mental KKM), boleh pergi ke klinik kerajaan atau swasta.

Tujuannya, bagi mendapatkan pemeriksaan awal tentang status kesihatan mental mereka. Selepas diperiksa, pesakit akan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri.

Perawat psikiatri, Dr. Zul Azlin yang juga penulis buku Aku Dijangkiti Kehidupan berkata, ramai orang terkesan dengan pandemik, terperangkap dalam pelbagai masalah mendesak.

Penting bagi masyarakat tahu bagaimana menguruskan perasaan marah supaya mereka dapat memproses dan menguruskan stres dengan baik. Jika ada gangguan tidur dan perubahan sikap yang berlarutan, Dr. Zul Azlin meminta penghidap simptom supaya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik.

Dr. Zul Azlin turut berkongsi buku bacaannya yang membantu beliau memahami pandemik ini, iaitu The Plague oleh Albert Camus.

Penulis Dura Ain pula berkongsi tentang pentingnya selalu mengucapkan kata-kata positif, tidak menghukum diri dan mengikut nasihat pakar supaya elak daripada mengkritik diri sendiri.

Sebagai penulis, beliau dapat manfaatkan penulisan sebagai salah satu mekanisme menguruskan fasa penyakitnya.

Nasihat Dura Ain kepada pendengar muda agar mengehadkan penggunaan media sosial, jauhkan daripada pencetus reaksi “trigger”, belajar cara pengurusan komunikasi berkesan apabila berhadapan dengan pelanggan yang mencabar, memaafkan diri, pilih lingkungan yang lebih baik dan jauhi orang yang membuat provokasi menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk.

Bagi Fazrin Nazrin, beliau dapat mengawal penyakitnya dengan mengenal pasti simptom dengan lebih baik. Beliau bersyukur kerana mempunyai isteri yang selalu memberikan sokongan dan membantu merungkaikan setiap kekusutan yang dialami olehnya.

Antara kaedah yang digunakan olehnya dengan mendengar serta memberikan validasi kepada emosi yang dirasai olehnya. Fariz Nazrin juga berkongsi tentang pentingnya ikhlas menghubungi rakan untuk bertanya khabar.

Mengenai pemberitahuan orang lain tentang penyakit yang dialami, Fariz Nazrin menyatakan bahawa ada dua persepsi dari segi pengadu dan pendengar. Bagi pengadu, pesakit tidak boleh mengharapkan semua pendengar mampu memberikan respons yang baik.

Bukan semua orang tahu bagaimana untuk menangani isu penyakit mental ini. Amat penting supaya pesakit tidak membuat rumusan bahawa semua pendengar adalah sama. Pengadu perlu bertanyakan tahap kesediaan pendengar ketika mahukan pertolongan merungkaikan kekusutan yang dialami olehnya.

Kepada pendengar, mereka perlu banyak mendengar tanpa membuat sangkaan dan tidak memberikan nasihat tanpa diminta oleh pengadu. Komunikasi berkesan merupakan alat untuk membantu pesakit menguruskan penyakit mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.