23 Jun 2021, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Acang Merpati menceritakan kisah pengembaraan pada abad ke-16 dengan menggabungkan cerita-cerita rakyat Sarawak menjadi satu cerita melalui penerapan elemen yang menarik bagi memberikan keterujaan pada pembaca. Begitulah yang diberitahu oleh Nur Azshieldha Sahran atau menggunakan nama pena, Shield

Penulis Acang Merpati, Shield Sahran.

Sahran semasa muncul dalam program Bicara Karyawan yang disiarkan secara langsung melalui Studio Pesona DBP pada 23 Jun 2021, yang berlangsung hampir satu jam, bermula pukul 12.00 tengah hari. Rancangan temu bual dengan penulis buku yang diundang oleh Bahagian Buku Sastera, DBP bertujuan untuk berkongsi dengan pelayar tentang proses penghasilan novel tersebut.

Menyedari kurangnya pengetahuan dan minat masyarakat terhadap cerita-cerita rakyat, khususnya cerita rakyat Sarawak maka penulis muda dari Bumi Kenyalang ini telah menghasilkan sebuah novel pengembaraan fantasi yang berjudul Acang Merpati. “Acang” merujuk nama lain bagi burung merpati di Sarawak, manakala “Merpati” pula diambil sempena nama watak sokongan dalam novel ini, iaitu Datuk Merpati. Walau bagaimanapun, Datuk Merpati merupakan tokoh penting di Sarawak kerana beliau telah membuka penempatan di Santubong, dan seterusnya menyumbang terhadap pembangunan di Kuching.

Acang Merpati merupakan novel pertama Shield Sahran yang diterbitkan dengan DBP.

Apabila ditanya, mengapakah Shield memilih untuk menghasilkan sebuah novel yang berunsurkan sejarah? Sedangkan, karya eceran beliau banyak menyentuh isu-isu semasa dan kemasyarakatan. Menurut Shield, novel ini berinspirasi daripada drama “Once Upon A Time” yang menghimpunkan cerita-cerita rakyat dari Barat seperti Cinderella, Snow White dan banyak lagi. Pada masa itu, Shield menyedari bahawa cerita genre sebegini mempunyai kekuatan untuk pembangunan bangsa dan negara. Lantaran itu, Shield tekad menghasilkan sebuah novel sejarah dengan menerapkan elemen pengembaraan fantasi dalam usaha untuk memelihara dan memulihara cerita rakyat Sarawak yang berasaskan bahasa Melayu.

Tambah beliau lagi, proses menghasilkan Acang Merpati ini tidak mudah. Ini kerana, beliau perlu memastikan falsafah yang hendak dibawa dalam karya ini dapat dihayati oleh para pembaca, bukan untuk hiburan semata-mata. Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa pertelingkahan antara Puteri Santubong dengan Puteri Sejinjang disebabkan berebut cinta seorang lelaki. Namun demikian, Shield mengubahkan cerita ini bagi memberikan perspektif baharu dengan menjenamakan semula watak Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, tetapi dalam versi srikandi, iaitu mengangkat elemen kemampuan seorang wanita untuk memimpin.

Menariknya, novel Acang Merpati telah dipilih dalam kalangan pelajar universiti untuk membuat kajian. Mereka mengatakan, setelah membaca novel ini, banyak watak legenda dan sejarah yang ditonjolkan dalam novel ini yang tidak diketahui kewujudannya sebelum ini. “Buku Acang Merpati sangat bagus untuk dijadikan teks kajian kerana buku ini mengangkat martabat dan sejarah cerita rakyat tempatan yang semakin dilupakan melalui penggabungan cerita dalam sebuah jalan cerita sahaja yang bersifat pengembaraan fantasi yang lebih menarik supaya membaca lebih berasa teruja untuk membaca. Selain itu, novel ini bertujuan untuk melahirkan cerita rakyat baharu yang lebih segar dan seolah-olah melahirkan sejarah baharu Sarawak, walaupun sebenarnya sejarah itu tidak wujud, tetapi seakan-akan diwujudkan,” kongsi Shield lagi.

Selain itu, Shield juga bercerita tentang “sequel” Acang Merpati yang bakal diterbitkan pada tahun ini. Dalam “sequel” tersebut, Shield mewujudkan satu cerita rakyat yang lain, iaitu legenda Batu Nabau dengan menggunakan karakter watak yang lama berdasarkan cerita rakyat daripada kaum lain yang mengembara dalam hutan Katibas. “Saya akan membawa pembaca mengembara dan melancong dalam hutan Sarawak pada abad ke-16,” kata Shield yang teruja berkongsi tentang “sequel” Acang Merpati.

Sebelum mengakhiri program ini, Shield menyuarakan harapannya agar novel Acang Merpati ini dapat memberikan idea baharu pada penulis muda yang mempunyai impian sepertinya untuk menggunakan kearifan tempatan dalam berkarya, tetapi tidak pasti dengan cara bagaimana mahu bermula. Jadi, nasihat Shield supaya penulis ini bermula dengan budaya dan tradisi sendiri, kerana itu merupakan kekayaan bangsa kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.