9 Jun 2021, 20:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Webinar Kreativiti dan Inovasi dalam Proses Kreatif yang diadakan secara dalam talian.

Kuala Lumpur – “Kreativiti merupakan aset penting yang terdapat dalam diri penulis. Untuk menjadi seorang penulis yang kreatif, penulis tersebut perlu berinovatif dalam berkarya. Bukan teknologi sahaja perlu berinovasi malah penulis juga perlu membentuk dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih hebat sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.” Berikut merupakan perkongsian yang ditekankan dalam Webinar Kreatif dan Inovasi dalam Proses Kreatif yang bertemakan Titik Ambang Kemenjadian yang dianjurkan pada hari ini.

Webinar yang diadakan secara dalam talian tersebut merupakan anjuran Persatuan Penulis Budiman dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama-sama gabungan pelajar dari Universitas Sumatera Utara Indonesia serta Universitas Siber Asia Indonesia. Antara barisan panel webinar tersebut ialah Dr. Ghazali Din, Hafizah Iszahanid, Dr. Ariff Mohd, dan Dr. Rachmawati Yahya sebagai moderator.

Antara inti pati yang dikongsikan oleh Dr. Ariff dalam hujahan beliau ialah penulis seharusnya bukan hanya sekadar menulis sahaja, tetapi penulis tersebut harus mencuba untuk menghantar karya mereka ke mana-mana platform yang sedia ada. Dari situ penulis akan melihat kekurangan dalam karya mereka dan memperbaiki mutu penulisan tersebut.

Menjadi seorang penulis yang baik bukan perkara mudah, tetapi ia juga bukan perkara yang susah. Oleh itu, membaca dapat membentuk peribadi seseorang penulis, ujar Hafizah Iszahanid.

Hafizah turut menegaskan bahawa seseorang penulis harus membaca. “Anda ialah apa yang anda baca. Membaca mempengaruhi apa-apa yang kita tahu, jika baca sedikit maka sedikitlah yang kita tahu,” ujar Hafizah lagi. Walau bagaimanapun, terdapat pernyataan bahawa pengalaman boleh dijadikan sebagai ilham untuk menulis, tetapi bagaimanakah pula bagi mereka yang minat tentang sejarah? Sudah tentu penulis pemula tidak mempunyai pengalaman dalam konteks tersebut. Oleh itu, amatlah penting bagi penulis pemula untuk meluaskan idea mereka dengan membaca. “Menjadi seorang penulis yang baik bukan perkara mudah, tetapi ia juga bukan perkara yang susah. Oleh itu, membaca dapat membentuk peribadi seseorang penulis,” tambah beliau lagi yang merupakan novelis dan cerpenis.

Selain itu, penulis pemula juga dinasihatkan untuk mengamalkan budaya mencatat supaya memudahkan mereka untuk berkarya. Ilham datang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, terutamanya dengan kemudahan telefon pintar yang boleh membantu penulis untuk berkarya selain untuk mendapatkan bahan rujukan. Tidak dinafikan bahawa peralihan zaman banyak mempengaruhi gaya penulisan seseorang penulis namun bagi Dr. Ariff, penulis pemula perlu banyak meneroka dan mengambil kesempatan ini untuk berkarya. Selain itu, beliau sempat berkongsi video yang dihasilkan oleh salah seorang pelajar beliau yang menggunakan medium audio visual di media sosial dan platform Youtube sebagai medium perkongsian karya.

Ketika menyampaikan ucapan sambutan, Prof. Dr. A. Halim Ali turut menyatakan hasrat beliau untuk mewujudkan satu pengiktirafan atau gelaran khas kepada penulis seperti gelaran yang ada pada jurutera. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis tidak diberikan apa-apa gelaran khas yang menjadi tanda sebagai satu pengiktirafan kepada karya hebat yang dihasilkan. Beliau berpendapat bahawa dengan adanya pengiktirafan tersebut, penulis pemula akan lebih bersemangat untuk berkarya secara kreatif dan inovatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.