Diterbitkan pada 7 Jun 2021, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Secangkir Kopi Jam 10 bersiaran langsung pada setiap hari Sabtu.

Dalam menghasilkan penceritaan yang baik, penulis seharusnya menerapkan kesan khas dalam setiap karya yang dihasilkan. Hal ini dikatakan demikian kerana penerapan kesan khas tersebut mampu menarik minat pembaca dan sekali gus menjadikan karya tersebut berkualiti dan mudah diterima oleh pembaca. Oleh itu, sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada penulis, terutamanya dalam kalangan penulis pemula, Nisah Haron yang merupakan penulis dan aktivis sastera telah mengadakan program bimbingan secara dalam talian iaitu Secangkir Kopi Jam Sepuluh pada setiap hari Sabtu. Program bimbingan tersebut bersiaran secara episod dan episod pada kali ini memberikan pendedahan kepada penulis tentang penggunaan gaya bahasa seperti hiperbola, litotes dan eufemisme.

Terlebih dahulu, Nisah turut berkongsikan beberapa aspek gaya bahasa yang diterangkan pada episod sebelum ini, iaitu metafora, simile dan personifikasi. Yang menariknya, program ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penonton Facebook Secangkir Kopi Jam 10 yang turut memberikan contoh penggunaan ayat yang telah dipelajari pada episod sebelum ini.  Antara ulasan yang turut dikongsikan oleh Nisah ialah contoh penggunaan simile. Beliau menyatakan bahawa penulis harus memilih penggunaan simile yang tepat dan mudah difahami dalam kalangan pembaca tanpa wujud unsur lewah dalam penggunaan ayat tersebut.

“Kesan khas dalam sesebuah penceritaan mampu memberikan kesan terhadap emosi pembaca namun tetap mengekalkan kesantunan dalam berkarya,” ujar Nisah semasa mengulas tentang kesantunan dalam berkarya. Pernyataan tersebut diperincikan dengan penggunaan eufemisme yang mampu menghasilkan ayat yang indah dan santun meskipun hakikatnya ayat tersebut boleh memberikan makna yang negatif atau buruk. Hal ini membolehkan penceritaan disampaikan dalam bentuk positif dan mudah diterima dalam kalangan pembaca.

Oleh itu, penulis terutamanya penulis pemula seharusnya mengambil peluang keemasan ini dengan mengikuti siaran langsung Secangkir Kopi Jam 10 melalui pautan https://www.facebook.com/secangkirkopijam10 yang semestinya dapat membantu penulis untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi