Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rata-rata penulis pemula lebih cenderung untuk menghasilkan puisi berbanding dengan karya kreatif lain. Oleh itu, Kata-Pilar dengan kerjasama Tukang Puisi mengadakan program “Mengopi Puisi @ Twitter Spaces: Membukukan Puisi” pada 4 Jun 2021 yang menampilkan gabungan antara penulis dan penerbit dalam satu platform. Antara barisan panel pada malam tersebut ialah Hidayah AT Mizi, Abdullah Hussaini, Qurratul ‘Ain, Karim Mohd, Rasydan Fitri, Syaheeda Hamdani, Jasad, Ainunl Muaiyanah dan Fahd Razy yang bertindak sebagai moderator.
Penulis pemula tidak seharusnya ‘gopoh’ untuk mengejar kuantiti tanpa memikirkan aspek kualiti karya tersebut, ujar Fahd Razy.
Sembang santai tersebut telah mengupas beberapa topik popular dalam kalangan penulis pemula iaitu tentang hala tuju puisi yang telah dihasilkan dan adakah pembukuan puisi merupakan kaedah terbaik yang harus dilakukan oleh penulis pemula. Menurut Ainunl, perkara pertama yang harus diutamakan oleh penulis pemula ialah untuk menghasilkan puisi yang baik dan berkualiti. Pernyataan tersebut turut disokong oleh Fahd Razy bahawa penulis terutamanya penulis pemula tidak seharusnya ‘gopoh’ untuk mengejar kuantiti tanpa memikirkan aspek kualiti karya tersebut. Apabila membicarakan tentang kualiti sesebuah karya, Jasad yang merupakan penerbit Terbitan Langit turut berkongsi tentang kebanyakan karya yang diterimanya kurang berkualiti dan lebih bersifat curahan perasaan penulis tersebut.
“Bagi penulis pemula yang telah mempunyai nama, sudah tentu karya mereka senang diterima dalam kalangan pembaca, namun mereka seharusnya melihat tentang bagaimanakah karya tersebut ingin dibukukan. Hal ini disebabkan kita kekurangan penerbit yang sedia menerima dan membukukan puisi penulis pemula. Antara penerbit yang meraikan karya penulis pemula ialah Tukang Puisi dan Kata-Pilar,” ujar Ainunl.
Sebagai penerbit, Fahd Razy turut menasihati penulis pemula agar sentiasa menjaga hubungan yang baik antara editor dan penerbit. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penulis pemula seharusnya meletakkan kualiti sebagai teras utama dalam menghasilkan sesebuah karya yang terbaik.
