12 April 2021, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Slot Bersama-sama Editor Tunas Cipta telah menghimpunkan sebanyak 21 orang penulis dari Sabah.

 

Pada 10 dan 11 April 2021, Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Bengkel Perolehan Judul Buku Fiksyen Antologi 21 Cerita Orang Kita yang menghimpunkan sebanyak 21 orang penulis dari Sabah. Bengkel yang diadakan secara dalam talian tersebut turut memberi peluang kepada penulis dari Sabah untuk bertemu dengan editor majalah Tunas Cipta melalui slot Bersama-sama Editor Tunas Cipta yang disampaikan oleh Puan Siti Noorisa Abdul Khlil pada 11 April 2021.

Sepanjang slot tersebut berlangsung, peserta telah diberikan pendedahan berkaitan sejarah penerbitan majalah Tunas Cipta dan proses penerbitan karya dalam majalah tersebut. Menariknya, Tunas Cipta merupakan satu-satunya majalah sastera terbitan DBP yang memfokuskan penulis muda yang berusia dari 21 hingga 40 tahun. Menurut Puan Siti Noorisa, Tunas Cipta diterbitkan untuk menjadi wadah kepada penulis muda yang terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu dan tidak hanya tertumpu bidang sastera sahaja. Hal ini dapat dilihat dengan kehadiran penulis muda seperti Lokman Hakim yang merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan.

Selain itu, Tunas Cipta amat mengalu-alukan karya daripada penulis dari seluruh Malaysia dan tidak hanya tertumpu di semenanjung sahaja. Hal ini sekali gus dapat memberikan kepelbagaian dalam setiap karya yang diterbitkan. Oleh itu, sebagai penulis muda yang baharu dalam bidang penulisan dan sastera, Tunas Cipta merupakan majalah yang harus dimiliki dan menjadi medium untuk menjadikan mereka sebagai penulis mapan pada suatu hari nanti.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.