6 April 2021, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Wadiassofi  Jaafar

ALOR SETAR – Persatuan Teater Alor Setar yang bergerak sebagai sebuah persatuan teater yang cukup aktif dan kreatif telah melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada penglibatan anak-anak muda untuk berteater atau berlakon teater dengan lebih baik lagi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Yang Berbahagia Tuan Haji Jasri Kasim, kepentingan yang dimainkan oleh Persatuan Teater Negeri Kedah dalam menyemarakkan seni sastera dan budaya di negeri Kedah dilihat sebagai jalan terbaik untuk memperkasakan kecintaan terhadap nilai sastera dan budaya itu sendiri.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Jelajah Nusantara yang diadakan di Rumah Toksu, berhadapan Wisma Darul Aman pada 25 Mac 2021. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Persatuan Teater Alor Setar, Mohd Zulkamal Ismail dan timbalannya, iaitu Shaiful Amir.

Jasri menegaskan bahawa peranan daripada pelbagai pihak terutama daripada sebuah persatuan amat diperlukan untuk menggerakkan pelbagai aktiviti atau program yang menjurus kepada kebaikan dalam mengajak masyarakat, terutama anak-anak muda terlibat secara aktif dalam bidang sastera atau budaya.

“Program Jelajah Nusantara yang diadakan pada kali ini menjurus kepada nilai murni dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini untuk melibatkan diri dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan serta diharap mampu menjernihkan minda untuk saling bekerjasama antara satu sama lain. Peranan dan usaha yang dilakukan secara berterusan amat penting dalam mengembling tenaga untuk melihat seni dan budaya bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Yang penting, usaha dan iltizam adalah langkah terbaik ke arah menjadikan minat dan cita-cita masyarakat, terutama anak-anak muda untuk terlibat secara bersama dalam memartabatkan nilai seni, iaitu sastera dan nilai budaya berteater sebagai salah satu pelengkap yang terbaik, demi untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di negeri Kedah,” jelasnya lagi.

Dalam majlis itu, Pengarah Teater Alor Setar, Mohd Zulkamal Ismail turut menyampaikan buku tulisan beliau berupa Skrip Drama Pentas berjudul Mimpi Presiden kepada Haji Jasri.

Jasri Kasim menerima buku Skrip Drama Pentas berjudul “Mimpi” daripada Mohd Zulkamal Ismail.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.