3 Mac 2021, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) bagi mengadakan Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja yang telah disertai sebanyak 16 penyertaan. Sayembara tersebut diadakan pada 11 Disember 2020 yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Antara tujuan utama penganjuran sayembara tersebut ialah untuk menghasilkan lebih banyak novel sejarah yang boleh dijadikan rujukan untuk golongan remaja. Berdasarkan penilaian keseluruhan yang dinyatakan oleh Ketua Penilai, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, beliau mendapati bahawa kualiti dalam aspek gaya dan nilai artistik telah menunjukkan peningkatan dalam penyertaan sayembara pada tahun ini. Hal tersebut sekali gus membuktikan bahawa penulis mampu menghasilkan novel sejarah yang dapat menarik minat pembaca muda.

Johan sayembara pada kali ini telah dimenangi oleh Salina Ibrahim dengan karyanya yang berjudul Demi Tanah Qalha dan berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10 000. Seterusnya tempat kedua yang memperuntukkan wang tunai sebanyak RM5000 telah dimenangi oleh Amer Hamzah L. Kadir (Aku Lelaki Bernama Rosli). Manakala Salmiah Kasmuni (Cinta Bangsawan) berjaya memperoleh tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000. Sebanyak lima penerima sagu hati yang memenangi wang tunai sebanyak RM1000, iaitu Dr. Zabidin Ismail (Sungai Manik Berdarah), Hasiah W. Ali (Mengukir Mahkota Perak), Kamarulzaman Jaafa (Sultan Abdullah di Pulau Seychelles), Nazri Hussein (Istana Menghadap Laut) dan Nor Azida Ishak (Wira Demokrasi).

Berdasarkan penyertaan yang menggalakkan, Pengerusi PSM, Dato’ Hj Jumaat bin Dato’ Hj Mohd Noor memaklumkan bahawa sayembara ini akan diteruskan sebagai usaha untuk menghasilkan lebih banyak novel sejarah untuk remaja yang berkualiti. Sayembara tersebut diakhiri dengan upacara perasmian oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan yang turut disaksikan oleh tetamu jemputan yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.