19 Februari 2021, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan teknologi yang semakin pesat membolehkan sastera juga tersebar luas. Pelbagai platform pengkaryaan turut mengalami perubahan termasuklah buku digital, buku audio dan karya yang diterbitkan dalam bentuk visual.

Jack Malik.

Apabila diperhatikan, banyak sekali sajak penyair terkenal dijadikan dalam bentuk video. Jika dahulu, proses demikian memakan masa yang lama, mahal dan terhad. Sebabnya, video perlu dirakamkan di dalam studio khusus, bagi mendapatkan bunyi dan suara yang gemeresik dengan tulisan yang boleh bergerak dari atas ke bawah atau kiri ke kanan.

Kini, semua itu sudah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar dengan aplikasi yang tepat. Hasilnya, terdapat video yang membaca atau mendeklamasi puisi hasil nukilan para penyair tertentu. Persoalannya, adakah perbuatan ini melanggar mana-mana undang-undang hak cipta?

Bagi memahaminya, terlebih dahulu kita melihat kedudukan sajak yang dipilih. Sajak itu mestilah dihasilkan oleh penyair yang boleh dikenal pasti. Walau bagaimanapun, penyair tersebut tidak semestinya terkenal. Ertinya, walaupun sajak itu dihasilkan oleh penyair yang menggunakan nama samaran, namun masih ada manusia yang boleh mencari identitinya di sebalik nama samaran tersebut.

Hak cipta diberikan terhadap mana-mana karya yang dihasilkan oleh pencipta (penyair) yang boleh dikenal pasti, dan karya itu telah dijadikan dalam bentuk bahan (material form). Sajak itu tidak semestinya sudah terbit dalam media cetak atau pun media baharu. Sajak tersebut boleh sahaja ditulis oleh Si Penyair A. Kemudian, Penyair A berhasrat untuk merakam suaranya membacakan sajak tersebut, dan menjadikan persembahan itu dalam bentuk video yang teksnya boleh dibaca oleh penonton.

Perkara ini tidak menjadi hal kerana Penyair A membaca karyanya sendiri. Undang-undang hak cipta membenarkan Penyair A yang telah mencipta sajak sendiri, melakukan sebarang perpindahan bentuk terhadap karyanya, sama ada mahu dicetak, dideklamasi, atau diterbit dengan cara pilihannya (dalam blog atau mana-mana media sosial).

Sekiranya seseorang lain yang dinamakan Deklamator B, bercadang mahu mendeklamasi sajak oleh Penyair A, maka dia perlulah melakukan perkara di bawah yang sama seperti sebuah adaptasi:

  • Minta izin daripada Penyair A
  • Mengkreditkan nama Penyair A sebagai pencipta sajak
  • Memaklumkan kepadanya sama ada persembahan ini untuk tujuan komersial, promosi atau sebaliknya.

Penyair A wajar dimaklumkan sekiranya Deklamator B akan menerima imbuhan hasil daripada persembahan tersebut, dan berhak meletakkan suatu jumlah sebagai syarat keizinan ataupun memberikan kebenaran begitu sahaja tanpa sebarang tuntutan. Dalam mempertimbangkan keizinan tersebut, beliau harus diberikan konteks sebenar, khususnya bentuk persembahan deklamator dan jenis platform. Secara umumnya, mana-mana penyair atau pengkarya berasa bangga apabila karyanya diterbitkan dalam bentuk yang lebih luas begini, namun, kita tidak boleh terus membuat anggapan bahawa semua penyair boleh memberikan persetujuan.

Penyair A berhak untuk menolak permintaan tersebut atas sebab-sebab tersendiri, misalnya, dia percaya bahawa karyanya apabila tidak dibacakan dengan gaya tertentu, tidak akan memberikan kesan yang dibayangkan ketika sajak tersebut ditulis. Walau apa-apa pun alasannya, makluman kepada penyair yang masih hidup merupakan cara karya tersebut dan penyairnya dihormati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Aksara Puisi

Lensa Kehidupan

15 November 2024, 16:05
Aksara Puisi

Tentang Matari

15 November 2024, 15:47
Aksara Puisi

Memiliki

15 November 2024, 15:28
Aksara Puisi

Anak Pertama

15 November 2024, 15:10
Aksara Puisi

Asal Mula

29 Oktober 2024, 15:38
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.