Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penganjuran program Dekad Bahasa Kebangsaan 2024 (DBK) peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah menutup tirai dengan jayanya pada 18 November 2024.
Objektif utama penganjuran DBK yang dilihat berjaya menuai respons positif pelbagai agensi ini berhasrat ingin menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan diterjemahkan oleh KPDN melalui beberapa inisiatif penganjuran program dan pertandingan.
Antara inisiatifnya termasuklah penyertaan karyawan KPDN dalam Kursus Pembinaan dan Pemantapan Munsyi Muda Bahasa, penganjuran Pertandingan Pantun, Puisi dan Dikir Barat dan pelaksanaan Program Tiada Kata Seindah Bahasa.

Majlis Penutupan Program DBK Peringkat KPDN yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN, Putrajaya, telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Dalam ucapan perasmian penutupan, beliau menegaskan bahawa peri pentingnya pemartabatan bahasa Melayu sebagai akar jati diri bagi setiap warganegara, lebih-lebih lagi oleh pelaksana dasar negara.
Bahasa Melayu tidak wajar dilihat sebagai medium pertuturan sahaja, tetapi sebagai lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Usaha-usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu dilaksanakan melalui strategi serampang dua mata demi membentuk jati diri bangsa Malaysia yang lebih mantap.
Atas dasar itu, bahasa Melayu perlu terus diperjuangkan melalui usaha-usaha secara kolektif melibatkan pelbagai pihak untuk mencapai hasil yang lebih holistik. Usaha secara kolektif ini melibatkan semua pihak tidak kira individu, pihak berwajib, agensi kerajaan, gedung-gedung ilmu dan pihak-pihak berkepentingan.

Pada akhir ucapan, beliau juga menyatakan komitmen dan sikap keterbukaan pihak KPDN untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan sebanyak mungkin pakar dan bijak pandai bahasa bagi memastikan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kekal dimartabatkan.
Kemuncak program DBK peringkat KPDN diwarnai dengan persembahan pentas menerusi Pertandingan Dikir Barat antara dua kumpulan, iaitu kumpulan Sri Permata dan Kito Madani.

Selain itu, tetamu juga dipertontonkan dengan video persembahan calon Pertandingan Puisi dan Pantun yang sebelumnya telah diadakan secara dalam talian dan secara tidak langsung berjaya menyerlahkan kreativiti karyawan KPDN dalam menjalinkan elemen kebahasaan dan kesusasteraan dalam domain pekerjaan melalui tema perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Dalam majlis ini juga, sebanyak 12 orang karyawan KPDN yang mendapat pentauliahan sebagai Munsyi Muda Bahasa turut diraikan sebagai bukti kesungguhan keterlibatan karyawan KPDN mendukung aspirasi DBP dengan menjadi perujuk bahasa bagi warga kementerian atau agensi.