Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTapah – Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek menzahirkan kebimbangannya terhadap fenomena penurunan minat membaca dalam kalangan generasi muda yang dilihat semakin terhakis dan perlu dipupuk semula melalui Kursus Kepemimpinan Ketua Rumah dan Penolong Ketua Rumah (KESUMA 2.0).
KESUMA 2.0 peringkat kebangsaan bagi sekolah berasrama penuh tahun 2024 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Sekolah Menengah Sains Tapah.
Program yang menjadi platform pengembangan potensi pemimpin muda ini disemarakkan lagi dengan sesi istimewa bertajuk ”Bicara Aspirasi Generasi Madani”, bersama-sama Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek. Tegasnya,
Amalan membaca dilihat semakin terhakis, dan ini sesuatu yang harus kita perbetulkan. Membaca adalah kunci kepada pembinaan jati diri dan kecemerlangan pemikiran.
Beliau turut mencadangkan beberapa bahan bacaan penting yang diyakini dapat memperkaya minda dan jiwa pelajar, antaranya termasuklah karya Pedagogy of the Oppressed, Paulo Freire dan Excellence Without a Soul karya Herry R. Lewis.
Di samping menyanjung tinggi karya penulisan Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) yang mengandungi unsur teladan dan kearifan tempatan, cadangan ini turut dijadikan seruan kepada generasi muda supaya membangunkan keperibadian dan kepimpinan yang unggul dan bukan sahaja pengembangan pengetahuan.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan keperluan untuk membentuk pemimpin yang bukan sekadar dianggap idola tetapi menjadi suri teladan yang dihormati dan dicontohi.
“Padamkan hakikat ’banjir idola, kemarau teladan’, Malaysia memerlukan pemimpin berjiwa besar dan berakhlak mulia, bukan hanya untuk dikenang tetapi diikuti dan diteladani,” katanya tegas.
Beliau turut memberikan contoh belia yang boleh dijadikan inspirasi seperti Pengerusi Suruhanjaya Belia Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Michelle Shi Jie Chew dan Khairul Aming, seorang usahawan berjaya yang menggunakan media sosial untuk berkongsi ilmu dan inspirasi kepada masyarakat.
Sekolah Menengah Sains Tapah mengangkat saranan YB Fadhlina Sidek, agar kursus kepemimpinan yang akan datang dipadatkan dengan sesi perkongsian oleh tokoh-tokoh muda hebat seperti mereka, sebagai perkongsian kisah kejayaan yang dapat menyuntik inspirasi kepada pelajar.
Sesi perkongsian bersama-sama beliau ini tidak hanya membuka minda, tetapi turut menyentuh jiwa generasi muda dalam memberikan kesedaran bahawa pendidikan di Malaysia bukan semata-mata untuk melahirkan pelajar yang cemerlang secara akademik, tetapi juga pemimpin yang berintegriti, matang, serta berdedikasi.