Diterbitkan pada 12 November 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Seminar dan Persembahan bertemakan Irama Keroncong yang berlangsung pada 27 Oktober lalu, berjaya memberikan pendedahan pada generasi muda mengenai keunikan nyanyian tradisional keroncong sambil memberikan peluang pada para peserta untuk turut menguji teknik irama vokal keroncong mereka.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang melalui kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini merupakan siri pertama dalam jelajah Bengkel Seni Tradisional bersama-sama sekolah di seluruh Malaysia.

Puan Jamilah, Nek Uda serta pemuzik dari ASWARA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan barisan jurulatih yang didatangkan khas untuk berkongsi pengalaman dan teknik nyanyian keroncong yang tepat kepada para peserta sekolah Segamat.

Menurut Puan Jamilah, nyanyian irama keroncong merupakan asas kepada sesebuah lagu tradisional yang boleh dicapai dengan menggunakan teknik getaran pada lontaran vokal. Kongsinya,

Latihan keroncong memerlukan masa yang lama dan latihan yang kerap bagi mendapatkan intonasi irama yang tepat pada nama keroncong.

Manakala, Nek Uda selaku penyanyi keroncong veteran mengatakan bahawa nyanyian keroncong asli mempunyai alunan yang sedikit janggal kerana gaya nyanyiannya yang lebih panjang dan sukar untuk dikendalikan.

Bagaimanapun, menerusi jelajah Bengkel Seni Tradisional ini, perserta dilihat berjaya menerapkan ilmu yang dipelajari dan menguji teknik nyanyian mereka menerusi peluang yang dibuka pada penghujung program di ruang legar kompleks membeli-belah Segamat Central .

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi