Diterbitkan pada 30 Oktober 2024, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Pementasan teater Mek Mulung Dewa Muda berjaya meraih perhatian peminat teater tradisional dengan kehadiran lebih 350 orang penonton pada malam pementasannya.

Pementasan ini telah berlangsung di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 23 Oktober 2024.

Mek Mulung Dewa Muda merupakan sebuah persembahan teater tradisional negeri Kedah yang menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik dalam satu persembahan.

Penggunaan dialek negeri Kedah yang dikekalkan dalam pementasan ini dilihat sebagai satu daripada aspek keindahan bahasa yang mampu menarik minat penonton khususnya, penonton daripada golongan muda.

Menurut pengarah, Luqman Anaqi Mohamat Rosman, teater tradisional ini turut diberikan sentuhan baharu dengan menyelitkan unsur jenaka bagi memastikan para penonton seronok sewaktu menonton persembahan teater tersebut. Kongsinya lagi,

Walaupun pada zaman dahulu Mek Mulung mempunyai unsur ritual, namun persembahan pada malam tersebut telah diubah tanpa melibatkan sebarang unsur ritual seperti zaman dahulu,

Sebaliknya, saya beri sedikit nafas segar dengan menyelit unsur jenaka untuk memastikan penonton tidak terlalu tegang sewaktu menonton.

Teater Mek Mulung Dewa Muda ini merupakan anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Program Kesusasteraan Melayu Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dan Fakulti Seni Muzik dan Persembahan UPSI melalui kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Persembahan ini telah diwakili oleh pelajar bidang teater semester 4, Fakulti Seni Muzik dan Persembahan UPSI dengan bimbingan, Dr. Nor Shuradi Nor Hashim dan Dr. Mardiana Ismail.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi