Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pesta Teater Runcit (PTR) 4.0 pada kali ini bertemakan “Integriti! Integriti! Integriti! Art-tegriti!” yang menjadi asas kepada penghasilan bagi setiap naskhah yang terlibat.
PTR 4.0 melalui kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menampilkan 10 buah kumpulan dengan kepelbagaian idea dan kreativiti yang berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober, di Black Box Akademi Seni Budaya Warisan dan Kebangsaan (ASWARA).
Pengarah IIM, Fison Hamdi Ahmad berkata, beliau melihat seni dan integriti perlu digabungkan kerana medium teater adalah yang paling dekat dengan golongan muda, menjadikannya sebagai sebuah medium hiburan sambil mendidik masyarakat.
Sementara itu, Dekan Fakulti Teater ASWARA, Fasyali Fadzly pula berharap naskhah yang dipilih ini akan memberikan kesan riak yang berterusan untuk generasi akan datang berkenaan kepentingan integriti dalam kehidupan individu.
Ini menunjukkan visi dan misi jelas kerajaan Madani serta badan di bawahnya, bagi mencapai matlamat ke arah kerajaan yang bersih dari segi sistem dan juga gerak kerjanya, dengan melibatkan karyawan muda bersama-sama menggembleng tenaga bagi menyampaikan niat murni ini.
Pada tahun ini, 10 buah naskhah yang dipilih antaranya termasuklah, Pentas (Peduli Studio), Wheelchair Oh Wheelchair (Suara Bonda), U.N.I.T-T (UNIMASTAGE), Realiti (Unity Production), Piagam Tok Dukun (Sama Saiz), Jalan Ke(benar)an (Dramasix Production), Masjid Mukim Padi Sebutir (Jingga Purnama), Kau-sa(r) (Kau-sa(r)), Kebaya Yuna Jons (Si Kalemayar) dan Rahsia Suraya (Akademi Teater Rupawan Asli).