Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – Malam Gema Puisi Patriot 2024 yang menampilkan penyair di Utara tanah air telah berlangsung dengan jaya di Dewan Aspuri, Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan anjuran Persatuan Seni dan Apresiasi Sastera Pulau Pinang (PERSADA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (PPDSPU).

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang merangkap Penasihat PERSADA, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yusuf Latiff telah diundang merasmikan majlis.

Dalam ucapannya, beliau merasakan majlis seperti ini wajar dijalankan saban tahun bagi menghidupkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Begitu juga dengan Pengarah DBPWU, Encik Armin Azhari Saleh yang turut menyokong usaha sebegini dilakukan.

“DBP sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembangkan dan memasyarakatkan sastera kepada khalayak seperti yang terangkum dalam objektif penubuhan entiti ini.”

Beliau juga memberikan saranan dan cadangan kepada PERSADA untuk mengadakan sebuah sayembara lagu puisi peringkat utara yang melibatkan negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang, dan Perlis dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Aktiviti tersebut mampu dijadikan sebagai aktiviti tahunan PERSADA yang mampu memberikan impak yang besar terhadap masyarakat khususnya di wilayah utara.”

Setelah itu, 12 orang ahli PERSADA mempamerkan bakat mereka dengan mendeklamasikan puisi hasil tulisan mereka sendiri yang bertemakan patriotik.

Selain itu, malam tersebut turut diserikan dengan puisi-puisi yang dideklamasikan oleh para penyair lain, antaranya ialah Sarjan Asmaniza Che Mansor (Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara), dan Cik Nadirah Abdul Mulok (Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara).

Puan Atikah Mohd. Ariffin (Pengetua SMK Permatang Tok Jaya), Nur Asyifak Damia Mohamad Faisol (Johan Deklamasi Puisi Daerah SPU) dan Encik E Pian a/l Pro Poul (karyawan DBPWU) turut merancakkan majlis dengan mendeklamasikan puisi dan syair.

Pelibatan agensi-agensi luar seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, dan SMK Permatang Tok Jaya turut memeriahkan dan merancakkan lagi majlis ini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi