Diterbitkan pada 23 Oktober 2024, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Penulis seharusnya bertindak sebagai penyampai tradisi dan identiti budaya dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Malah, karya-karya sastera dapat dijadikan alat untuk mempertahankan jati diri bangsa lalu menyatukan generasi muda dengan akar budaya mereka.

Hal-hal tadi telah disampaikan oleh Dr. Husairi Hussin dalam Forum “Penulisan Untuk Remaja” yang membincangkan usaha untuk mengetengahkan pelibatan penulis muda.

Dalam forum tersebut, Dr. Husairi menegaskan bahawa melalui cerita, kita bukan sahaja mengenang masa lalu tetapi juga membina asas kukuh untuk generasi akan datang memahami asal-usul mereka.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dalam mengangkat tema warisan budaya dalam penulisan kreatif, iaitu nilai-nilai leluhur seperti kejujuran, kebijaksanaan dan kerjasama sering diselitkan dalam karya-karya beliau.

Sebagai contoh, Kumpulan Cerpen Remaja Bebaling, Novel Kempeitai dan Novel Remaja Awan Berombak.

Forum ini turut menampilkan Dr. Nazreen Shahul Hamid yang membincangkan tentang sastera yang dapat berfungsi sebagai alat transformasi sosial dan membantu dalam usaha mengembalikan identiti budaya yang autentik.

Beliua juga menekankan tentang tema, gaya bahasa dan pemilihan jargon dalam penulisan karya untuk remaja perlulah sesuai dengan tahap umur mereka.

Forum ini diadakan sempena Langkawi Writers’ Festival (LWF) 2024, yang berlangsung selama tiga hari dari 18 hingga 20 Oktober.

Festival tahunan ini menawarkan pelbagai acara yang menonjolkan keindahan seni penulisan, warisan budaya dan kreativiti.

Pada tahun ini, pelbagai  program diadakan dengan acara pembukaan yang gemilang, “Malam Selamat Datang” yang eksklusif di Hornbill Hut Chenang.

Pada acara pembukaan yang meriah ini, penulis dan peserta dari pelbagai negara berpeluang berkenalan dalam suasana santai. Malam tersebut juga diserikan dengan pelancaran buku unik dari penulis Malaysia (Antologi Sajak Radar Sang Rajawali), Afrika Selatan (Vernacular dan Return of the Songbird) dan Filipina yang mempamerkan tradisi dan cerita dari sudut pandang budaya masing-masing.

Para penulis buku-buku tersebut diberi peluang untuk membaca petikan karya mereka untuk diketengahkan kepada khalayak.

Selain itu, antara program yang mendapat sambutan hangat adalah “Penulisan dan Alam: Inspirasi dari Langkawi” yang mengetengahkan peranan alam semula jadi sebagai inspirasi dalam karya penulisan.

Tokoh – tokoh seperti Areel Abu Bakar, Fadzil Idris, Muhammad Izzat Md Isa dan Dr. U-Wei Haji Saari telah ditampilkan memeriahkan acara.

Manakala pada sebelah petang, peserta disajikan dengan forum mendalam bertajuk “Menuntut Kembali Warisan Leluhur Melalui Cerita: Sebuah Jati Diri” yang diterajui oleh Dr. Warfe Tupas Engracia, Hani Du Toit dan Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.

Malah, festival ini turut menampilkan sesi bersama Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan, yang berkongsi pandangannya tentang “Penulisan sebagai Alat Perubahan” serta keperluan untuk seni dan sastera terus hidup sebagai sebahagian daripada proses perubahan sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi