Diterbitkan pada 18 Oktober 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Simposium Muzik Ipoh (IMS) telah membincangkan perkembangan aliran muzik hip hop dan impaknya terhadap budaya di Malaysia.

Sebagai pembukaan, Forum Empat Dekad Hip Hop: Menjejak perjalanan Ritma Atas Puisi telah menampilkan Datuk Ahmad Izham Omar, YB Altimet, Yogi B, April Kuan dan Adly Syairi.

Menurut Adly Syairi sejarah tercetusnya irama ini apabila sekumpulan anak muda berhibur di sebuah pangsapuri di Bronx, New York pada tahun 1973.

Setelah itu, perkembangan irama dan budayanya mula terbias ke dalam filem di Malaysia.

“Sebagai contoh, terdapat beberapa babak dalam filem Azura yang diterbitkan pada tahun 1984”

“Sekumpulan anak muda yang membuat tarian breakdance yang menyerlahkan budaya atau elemen hip hop.”

Menurut beliau lagi, apa yang dilihat dalam filem belum menoktahkan lagi asal kewujudan irama ini bertapak di Malaysia.

Seterusnya pada awal milenium irama ini kian berkembang dan berterusan hingga ke hari ini.

Sebagai rekod, lagu Apa Khabar nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2015.

Dalam forum ini, mereka membicarakan serta mengupas dengan komprehensif berkenaan industri muzik hip hop di Malaysia.

Program ini diteruskan lagi dengan ucapan serta perasmian oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak (EXCO), iaitu YB Khairudin Abu Hanipah.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa kesyukuran terhadap sambutan yang diterima daripada masyarakat berkenaan dengan program ini. Beliau berkata;

“Setelah 5 tahun berturut-turut dijalankan, nampaknya IMS ini sudah semakin melebar, mengukuh, dan mendapat perhatian ramai termasuk pengkaji luar negara”

“Penyertaan lebih ramai golongan akademik dalam simposium sebegini, mampu memberikan impak dari segi pendidikan khususnya dalam memberikan kesedaran tentang pensejarahan dan perhubungan antara muzik dengan sosio-budaya sesebuah masyarakat.”

Tambahnya lagi, pelibatan para penggiat seni mampu dijadikan sebagai wahana utama lalu mengangkat muzik di sebuah negara.

Terdahulu, IMS merupakan anjuran People of Remarkable Talents (PORT) dengan kerjasama Arkib Muzik Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).

Simposium ini telah diadakan  di Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak yang berlangsung pada 11-13 Oktober lepas.

Pada tahun ini, simposium bertemakan “Ritma atas Puisi” yang menghimpunkan para cendekiawan daripada pelbagai bidang ilmu dan artis-artis yang berlatarbelakangkan hip-hop atau rap.

Mereka berkongsi serba sedikit pengalaman, menyatakan pandangan, serta memberikan info berkenaan dengan perkembangan hip-hop di tanah air.

Malah, turut diadaka pelbagai aktiviti antaranya pertandingan breakdance, pekan pop-up, dan konsert.

Antara artis yang menggegarkan konsert tersebut adalah Lil J, Jeknorth, Ranjit Bois, Quai, Lawalah Familia, Gard Wuzgut, Sophia Liana, dan Joe Flizzow.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi