Diterbitkan pada 1 Oktober 2024, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Dalam melahirkan generasi penulis muda yang berbakat, satu Bengkel Penulisan Cerpen telah diadakan di Maahad Al-Imam An-Nawawi, semalam.

Bengkel ini merupakan anjuran Kelab Penulis Muda dengan kerjasama Persatuan Bahasa Melayu serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).

Pengetua Maahad Al-Imam An-Nawawi, Puan Hajah Rosmiza Ahmad dalam ucapan pembukaannya menyatakan hasrat agar bengkel ini menjadi platform yang dapat menyemarakkan budaya menulis dalam kalangan pelajar.

“Saya percaya program sebegini sangat penting untuk mendidik anak-anak kita mengasah bakat penulisan”

“Program penulisan bukan sekadar dapat membentuk generasi berilmu tetapi juga insan yang mampu mencorakkan pemikiran bangsa melalui karya mereka.” Katanya menutup ucapan pembukaan.

Sebelum itu, perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Encik Armin Azhari Saleh, Pengarah DBPWU yang menyuarakan harapan agar bakat penulis muda dapat diketengahkan dan disokong sepenuhnya oleh komuniti tempatan.

“Penulis muda adalah pemangkin masa depan sastera negara kita, dengan adanya bimbingan dan sokongan seperti bengkel ini, saya yakin mereka akan mampu mengangkat karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.”

Puan Hajah Rosmiza Ahmad menyampaikan hadiah kepada Encik Armin Azhari Saleh, Pengarah DBPWU sempena Bengkel Penulisan Cerpen di Maahad Al-Imam An-Nawawi

Seterusnya, Bengkel Penulisan Cerpen berteraskan penghayatan nilai Islam telah dibimbing oleh pensyarah dari Bahagian kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Husairi Hussin.

Sebagai pembimbing, Dr. Husairi Hussin telah berkongsi teknik dan kaedah penulisan dalam menghasilkan cerpen.

“Cerpen yang efektif mampu memberi inspirasi kepada pembaca dan siapa tahu melalui cerpen yang kita tulis dapat menimbulkan ilham kepada mereka.” Ujar beliau kepada peserta program.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi