Diterbitkan pada 6 September 2024, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sebanyak 52 orang peserta dari 26 buah sekolah rendah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kuching telah menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif bersempena dengan Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) 2024  yang telah berlangsung selama dua hari bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar).

Penganjuran bengkel di bawah kelolaan DBPCSar ini dilihat sebagai sebuah  pelantar yang terbaik untuk mendedahkan para peserta pada dunia penulisan cerpen dan puisi.

Penganjuran bengkel ini juga dapat memperkayakankan kemahiran penulisan kanak-kanak sebagai satu daripada inisiatif untuk memupuk minat dan bakat n mereka.

Bengkel di bawah bimbingan Radzemah Bolhassan, seorang penulis tempatan negeri Sarawak yang banyak menulis novel, cerpen dan puisi di bawah pelbagai rumah penerbitan tempatan turut berkongsi pengalaman beliau dalam bidang penulisan yang lebih menekankan hal berkaitan kepentingan pemilihan tema yang baik sebagai buah idea kepada penghasilan sesebuah karya yang digarap dengan pembinaan plot yang cantik.

Aktiviti dalam kumpulan yang turut dibantu oleh pembimbing serta guru yang terlibat bagi MPKK 2024.

Melalui bengkel ini, peserta akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan sebagai latihan buat mereka untuk membina sebuah cerpen dan puisi berdasarkan tema yang telah diberikan.

Hasil penulisan tersebut kemudiannya akan dipersembahkan oleh peserta pada hari kedua bengkel di hadapan pembimbing, sebelum hasil karya itu diberikan komen dan cadangan untuk proses penambahbaikan.

Selain itu, peserta yang terlibat tidak hanya menghasilkan karya secara berkumpulan bagi tujuan latihan, tetapi juga diminta untuk menukangi cerpen dan puisi secara individu berdasarkan tema pilihan sebelum manuskrip itu diserahkan kepada pihak penganjur bagi proses penerbitan.

Penyampaian sijil penghargaan kepada Radzemah Bolhassan selaku pembimbing Bengkel Penulis Kreatif MPKK 2024.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Bengkel Penulisan Puisi khas kepada guru pengiring yang telah disampaikan oleh Munsyi Sastera, Mohamad Faizal Jamil. Melalui bengkel ini, rata-rata guru memberikan respons yang positif terhadap usaha DBP dalam mengasah bakat dan memperluaskan pengetahuan para guru terhadap bidang sastera kreatif.

Majlis ini turut dihadiri Pengarah DBPCSar, Encik Abang Haliman Haji Abang bagi menyempurnakan majlis penangguhan MPKK yang berlangsung pada 4 September, lalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi