Diterbitkan pada 27 Ogos 2024, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Noorumaina Yunus

Terengganu – “Saya sentiasa ingin mencabar diri sendiri untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dalam melakukan sesuatu perkara,” demikian kata Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi apabila diumumkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Terengganu 2024 yang berlangsung pada 20 Julai 2024, baru-baru ini.

Nik Faruqi menyifatkan bahawa penyertaan kali pertamanya dalam SDPK tahun ini sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dalam bidang puisi yang diminatinya. Penyertaannya ini juga dilihat berjaya mencabar diri untuk melihat sejauh mana kemampuannya sebagai pendeklamasi muda tanah air .

SDPK Peringkat Negeri Terengganu telah menyaksikan sebanyak 15 orang peserta yang mempertaruhkan beberapa buah sajak yang terkandung dalam buku Antologi Puisi Ke Sarang Cenderawasih bagi melayakkan diri ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 29 Ogos 2024.

Naskhah puisi ini telah ditetapkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) sebagai penganjur utama SDPK ke-38 melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai agensi termasuk persatuan penulis bagi setiap negeri.

SDPK merupakan program tahunan yang menyasarkan penyertaan anak muda dengan memberikan ruang dan peluang buat mereka menyertai sayembara puisi ke pentas yang lebih berprestij, di samping memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui deklamasi puisi.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan, Akmal Razali berkata bahawa bermula dari tahun 2020, 2018 dan 2023 sudah tiga orang pelajar USIM yang bertanding di SDPK peringkat negeri berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan. Kongsinya,

Alhamdulillah tahun ini dua lagi peserta dari USIM akan beraksi dan persediaan memantapkan latihan peserta akan dibuat mengikut perancangan dan diharapkan pengalaman ini akan menambah baik kualiti pelajar USIM dalam persembahan puisi.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Prof. Madya Dr. Saleeh Rahamad menyifatkan bahawa penyertaan pada tahun ini semakin menggalakkan dan mendapat perhatian generasi muda sebagai pelapis yang akan mewarnai dunia puisi tanah air.

Sementara itu, seorang lagi ahli kelab Penerbitan Kreatif USIM turut muncul sebagai johan SDPK bagi peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya iaitu Muhammad Zamraturrahman Yusri, sekali gus melayakkan dirinya ke peringkat kebangsaan pada Ogos ini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi