Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Program Pembinaan Bakat Penulis Remaja dan Kanak-kanak 2024, Zon Utara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya bermula dari 16 hingga 18 September 2024.
Sebanyak 51 orang peserta sekolah rendah dan menengah negeri Kedah dan Pulau Pinang yang menyertai program ini telah berkampung selama tiga hari dua malam di Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dr. Husairi Hussin dan Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau lebih mesra dikenali sebagai Nimoiz T.Y merupakan dua pembimbing utama yang berpengalaman membimbing peserta dalam kalangan remaja dan kanak-kanak untuk membentuk bakat penulisan mereka melalui penulisan cerpen dan sajak.
Selain sesi bimbingan yang berlangsung sepanjang program, editor majalah Dewan Siswa, Siti Irni Yuslinda Mosman, turut hadir sebagai penceramah jemputan yang berkongsi berkenaan potensi dan peluang penerbitan karya melalui penghantaran karya kepada majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.
Selain itu, satu daripada acara yang dinanti-nantikan adalah sesi Bicara Tokoh, yang telah dimudah acara oleh pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPDA), Jitra, Mawarni Ibrahim.
Dalam sesi ini turut menampilkan Tokoh Sasterawan Muda Pulau Pinang 2023 yang juga merupakan alumni Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam, Muhammad Afif Zulhusni.
Muhammad Afif melalui sesi Bicara Tokoh berkongsi tentang pengalaman serta pandangannya terhadap dunia penulisan tempatan melalui kaca mata penulis muda kepada peserta.
Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid JPN Pulau Pinang, Mohamad Rusdan Maidin, turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian dan penutup mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Kongsi beliau dalam ucapannya,
Murid yang hadir pada hari ini merupakan aset berharga kepada negara kita. Ilmu yang diperoleh sepanjang program ini sangat berguna dan bermanfaat sebagai langkah awal untuk menjadi penulis yang hebat. Sastera Malaysia memerlukan penulis baharu yang segar dan berinspirasi.
Turut hadir dalam majlis yang sama ialah Timbalan Pengarah DBPWU, E-Pian Pro Pol.