Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Sallehuddin Ibrahim
Kuala Kangsar – Dua buah judul buku baharu, Sejarah LEPAS 1951 dan Antologi Sajak Loghat Negeri Perak terbitan Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) telah dilancarkan bersempena dengan Majlis Anugerah Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri Perak pada 10 Ogos lepas di Perpustakaan Awam Cawangan Utama, Kuala Kangsar.
Penerbitan satu daripada dua buah buku yang berjudul Antologi Sajak Loghat Negeri Perak ini telah menerima penyertaan yang amat mengalakkan daripada 32 orang ahli LEPAS Perak bagi sumbangan puisi yang dimuatkan dalam buku antologi puisi tersebut.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Abdul Aziz dalam Ucapan Perasmian Majlis Anugerah Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri Perak, berkata bahawa pengalaman beliau sewaktu melawat negara luar yang mengangkat puisi dan buku sebagai sumber terapi telah berjaya membuktikan peranan persuratan sebagai teras pembudayaan ilmu serta jati diri sesuatu bangsa.
Hal ini, diharapkan turut berlaku pada industri puisi dan buku tempatan dalam memastikan kelestarian seni budaya terjaga dan secara tidak langsung dapat melahirkan bakat baharu melalui bimbingan ahli persatuan seperti LEPAS Perak.
Penganjuran Bengkel Penulisan Kreatif Sekolah Menengah Daerah Kuala Kangsar yang berlangsung dalam majlis yang sama merupakan satu daripada usaha untuk melahirkan penulis pelapis serta menanam minat masyarakat terhadap bidang sastera dan pembudayaan ilmu.
Pemilihan perpustakaan sebagai lokasi penganjuran dilihat amat bertepatan dalam usaha melestarikan warisan seni budaya dalam menghadapi cabaran semasa dengan kehadiran tetamu dan pengunjung yang hadir bagi memeriahkan majlis.