Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Elvienie Petrus
Tanjung Malim – Pementasan teater Banjir di Mata Emak adaptasi cerpen karya Che Soo Ismail telah menarik perhatian ramai dengan persembahan yang penuh emosi dan mesej sosial yang mendalam.
Pementasan yang berlangsung di Dewan Kolej Za’Ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ini menceritakan kisah menyayat hati seorang ibu tua yang “bagaikan melukut di tepi gantang”, diabaikan oleh anak-anaknya dalam tragedi banjir.
Pementasan ini telah dijayakan oleh pelajar kursus BSK3013 Kumpulan C, Drama dan Amali Seni Lakon di bawah kelolaan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari, sebagai penasihat.
“Teater merupakan sebuah kaedah pembelajaran dalam pendidikan yang membantu dalam pengembangan kemahiran komunikasi, pemahaman emosi, dan keupayaan berfikir secara kritis. Saya berharap melalui teater ini, pelajar dapat mengalami situasi dan watak yang berbeza sehingga membolehkan mereka melihat isu dari perspektif yang berlainan dan meningkatkan kemahiran interpersonal,” ujar Dr. Mohd Amir ketika diwawancara Tunas Cipta.
Melalui pementasan ini, Abigail Serika Anak Elebis Tan dilihat memberikan persembahan yang sangat memukau sebagai Mak Piah. Penyampaiannya dalam pementasan ini turut menerima maklum balas yang positif daripada penonton.
Yang mana, rata-rata penonton yang hadir berasakan bahawa Banjir di Mata Emak tidak hanya menghiburkan, tetapi juga membuka mata mereka terhadap isu sosial yang sering terlepas pandang dalam masyarakat.
“Saya rasa pementasan ini sangat relevan dan memberikan kesedaran kepada kita semua untuk menghargai dan menyayangi insan yang bergelar ibu. Pementasan malam ini sangat menyentuh hati sampai terasa sesak di dada,” ujar Ariessa, seorang daripada penonton yang hadir pada malam itu.
Pengarah Banjir di Mata Emak, Nur Sahafiq bin Gejati @ Gejalih berkata bahawa dia berharap agar pementasan ini dapat ditonton secara meluas berikutan permintaan yang banyak daripada orang ramai.
Dengan kejayaan yang diraih melalui pementasan ini, UPSI sebagai “Peneraju Kebitaraan Pendidikan” melihat teater dalam konteks pendidikan, bukan sahaja sebagai sebuah bentuk hiburan tetapi juga alat yang berkuasa dalam mendidik dan memberikan inspirasi kepada masyarakat.