Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangStudio Pesona DBP telah mengadakan rancangan Yang Lama Dijunjung: Mekarnya Puisi di Hati Kami pada 17 Julai 2021 yang menampilkan dua penyair muda yang berbakat dalam bidang puisi tradisional. Penyair muda tersebut ialah Nur Ameera Nabila Azmi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Meera dan Zafirah Bahiah yang dikenali sebagai Cikgu Ira. Sebagai pembukaan rancangan, Cikgu Meera mendendangkan “Syair Burung Pungguk” dengan menggunakan irama narasi.
Apabila ditanyakan tentang bagaimanakah kedua-dua penyair muda tersebut mula mencintai puisi tradisional dan kedua-dua mereka menjawab bahawa mereka mula mendalami dan mencintai puisi tradisional iaitu syair ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG). Mengulas dengan lebih lanjut, Cikgu Ira ada menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakan diberi peluang untuk menyertai bengkel syair di Melaka pada tahun 2012 dan dari situ beliau berpeluang bertemu dengan Roslan Madun.
Yang menariknya tentang syair ini ialah kandungan teksnya disampaikan dengan pelbagai jenis irama, selain mempunyai elemen nasihat untuk dijadikan sebagai pengajaran. Cikgu Meera turut berkata bahawa, “Sebagai usaha untuk membolehkan syair ini dapat diterima dengan lebih meluas, terutamanya dalam kalangan generasi muda, mungkin kita boleh dendangkan syair yang bertemakan isu semasa. Contohnya bertemakan perayaan yang bakal disambut tidak lama lagi.”
“Rata-rata generasi muda telah mula mendekati dan mendalami bidang syair ini,” tambah Cikgu Ira yang merupakan Johan Gurindam Kebangsaan tahun 2012. Hal ini dapat dilihat apabila penyertaan generasi muda dalam Persatuan Bitara Syair Nusantara (BITARA) mendapat sambutan yang menggalakkan. BITARA merupakan sebuah akademi yang bertujuan melahirkan lebih ramai penyair berbakat dan mampu menempa nama di peringkat antarabangsa.
