Diterbitkan pada 25 Julai 2024, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Nik Nur Nasuha Nik Rosli

Selangor – Sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib II merupakan peluang keemasan buat penulis muda dalam mengetengahkan karya mereka yang berkualiti kepada pembaca.

Sayembara anjuran Tukang Puisi dan KataPilar ini menerusi sebuah hantaran dalam laman utama Facebook rasminya telah mengumumkan bahawa penyertaan sayembara ini terbuka kepada semua peringkat umur, bangsa dan kerakyatan (warganegara dan bukan warganegara).

Seperti tahun sebelumnya, Hadiah Puisi T. Alias Taib II (2025) akan dipecahkan kepada dua kategori utama, iaitu kategori Hadiah Utama dan Hadiah Finalis.

Berikut merupakan syarat, cara penilaian dan hadiah bagi dua kategori tersebut:

Hadiah Utama

  • Karya yang berjaya melepasi saringan akhir serta terpilih sebagai karya yang terbaik antara finalis.
  • Tiada had maksima jumlah pemenang.
  • Awalan royalti bernilai RM1000 (minima), trofi, serta tawaran penerbitan karya di bawah Penerbitan KataPilar atau Tukang Puisi.

Hadiah Finalis

  • Karya-karya yang berjaya melepasi saringan akhir.
  • Minima seorang pemenang. Tiada had maksima jumlah pemenang.
  • Awalan royalti bernilai RM500 (minima), trofi, serta tawaran penerbitan karya di bawah Penerbitan KataPilar atau Tukang Puisi.

Setiap pemenang bagi setiap kategori akan berpeluang menerbitkan karya di bawah rumah penerbitan KataPilar atau Tukang Puisi berdasarkan kualiti dan kekuatan puisi yang dinilai oleh juri.

Sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib ini dilihat sebagai suatu ruang dan peluang buat penulis mencabar diri mereka untuk menghasilkan karya bermutu melalui pelantar yang disediakan oleh pihak KataPilar yang telah terbukti berjaya mengilap para penulis ke tahap yang lebih tinggi, antaranya termasuklah dalam memenangi Hadiah MASTERA dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Penganjuran sayembara yang konsisten ini memberikan impak yang ketara terhadap perkembangan sastera tempatan.

Oleh itu, para penulis terutamanya penulis muda tidak harus melepaskan peluang menyertai Sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib II sebelum penyertaan ditutup pada 1 November 2024.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, pembaca boleh melayari lama Facebook  rasmi KataPilar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi