Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Sarawak – Sebanyak 96 orang pelajar dari lima buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Sarawak telah menyertai Pertandingan Bicara Berirama anjuran Dewan Bahasa dan Cawangan Sarawak melalui kerjasama Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Swasta Sarawak bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera (FBS) Peringkat Negeri Sarawak 2024 pada 16 Julai 2024 bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar).

Pertandingan Bicara Berirama yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” ini merupakan program rintis yang membawa wadah terbaik untuk membina bakat dan kemahiran pelajar bukan Melayu dalam berbahasa, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pelajar dalam berkomunikasi dengan pelibatan pelajar SMPC di Sarawak.
Syarat bagi pertandingan ini, setiap pasukan yang menyertai perlu menggunakan bahasa berirama dalam nada, intonasi atau irama yang tertentu. Selain itu, setiap pasukan juga perlu membentuk satu paduan suara tematik yang menghayati hasrat atau tema untuk diperdengarkan kepada audiens.

Barisan juri yang dilantik bagi mengadili pertandingan ini antaranya termasuklah, Encik Ja’afar Haji Hamdan (ketua juri), Puan Askhairunisa Alwi dan Encik Mohamad Faizal Jamil.
Semasa sesi ulasan hakim, Encik Ja’afar Haji Hamdan turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua sekolah atas kejayaan menyampaikan bicara berirama dengan sangat baik dengan kreativiti yang tinggi walaupun rata-rata peserta baru pertama kali menyertai pertandingan tersebut.
Johan Pertandingan Bicara Berirama akan menerima wang tunai bernilai RM2000, sijil dan buku terbitan DBP, naib johan akan menerima wang tunai bernilai RM 1500, sijil dan buku terbitan DBP, manakala pemenang tempat ketiga dan sagu hati masing-masing akan menerima wang tunai bernilai RM1000 dan RM500, sijil dan buku terbitan DBP.
Penyampaian hadiah akan diadakan pada 19 Julai 2024 semasa Majlis Penangguhan FBS Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, YB Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.