Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSarawak – Bengkel Penulisan Puisi Tunanetra anjuran Bahagian Buku Sastera melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar) telah berlangsung pada 13 dan 14 Julai 2024, bertempat di DBPCSar, Kuching.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini telah menyasarkan peserta yang terdiri daripada penulis tunanetra atau ketidakupayaan penglihatan dengan bimbingan penulis puisi tersohor tempatan, Zaen Kasturi.
Pengerusi JK ICT dan Braille bagi Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching, Encik Adzohari Jamil turut menzahirkan rasa gembira kerana buat julung-julung kalinya DBPCSar dengan jayanya telah menganjurkan bengkel perolehan manuskrip untuk penulis tunanetra.
Beliau berharap agar karya hasil daripada bengkel ini dapat diterjemahkan melalui penerbitan sebuah antologi puisi sebagai testimoni potensi kreatif tunanetra, meskipun dalam keterbatasan ruang.
Pada hari kedua bengkel berlangsung, Zaen Kasturi telah mengadakan sesi membedah karya setiap peserta sebelum karya yang dihasilkan mereka melalui proses pemurnian dan penerbitan antologi.
Menurut Zaen Kasturi, setiap puisi yang dinilai dilihat mempunyai potensi sebagai sebuah karya yang baik dan tulus dari hati. Seharusnya, apabila karya ini sudah lengkap, beliau mengharapkan terjemahan apresiasi dan perasaan penulis tunanetra ini dapat dibaca dan difahami oleh semua khalayak pembaca.