Diterbitkan pada 2 Julai 2024, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Muhammad Zulfaiz Muin

Tanjong Malim – Pendekatan inovatif dan dedikasi yang ditunjukkan oleh setiap pelajar dengan mengadaptasikan kandungan pembelajaran pemahaman warisan Melayu seperti dialek, pantun, simpulan bahasa dan peribahasa menerusi elemen permainan interaktif ini seharusnya diperluaskan agar menjadi sebuah khazanah pendidikan yang lestari kepada generasi milenial mengikut konteks pendidikan semasa.

Hal ini dinyatakan oleh Profesor Madya Dr. Anida Sarudin selaku pensyarah kursus BML3083 Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu daripada program AT05 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Bahasa Melayu dengan Kepujian dalam Pembentangan Kolokium Gamifikasi Pembelajaran Aspek Seni Bahasa.

“Sebagai tenaga pengajar, saya amat menggalakkan para pelajar menerapkan teknologi AI dalam komponen asas ilmu Melayu klasik dan tradisional,” ujarnya lagi.

Pembentangan Kolokium Gamifikasi Pembelajaran Aspek Seni Bahasa telah diadakan pada 24 Jun 2024 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 7 (DKP7), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Penghasilan gamifikasi ini merupakan sebuah tugasan berkumpulan bagi kursus BML3083 Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu, Kumpulan A yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi semester 2, sesi 2023/2024 daripada program AT05 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Bahasa Melayu dengan Kepujian.

Pengaplikasian unsur AI (kecerdasan buatan) dalam bahan bantu mengajar (BBM) dilihat bakal mewujudkan iklim pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih dinamik dan efektif melalui ruang dan peluang yang diberikan kepada mahasiswa dalam meneroka serta memperkasakan kreativiti dan potensi mereka dalam bidang pendigitalan pendidikan warisan Melayu sebagai satu daripada alternatif pemeliharaan kemapanan legasi budaya yang kaya.

Anjakan paradigma ini pengaplikasian AI ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan secara berterusan, malah perkara ini juga memupuk penghayatan peradaban Melayu yang lebih bermakna dalam kalangan masyarakat Madani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi