Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Malvin Johanson James
Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kota Samarahan – Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Sastera (Puisi Seni Coret) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCSar) melalui kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68 dan program Dekad Membaca Kebangsaan 2024 bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Sarawak Kampus 2 telah berlangsung pada 24 hingga 25 Jun 2024.
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk mempromosi Dekad Membaca Kebangsaan dalam meningkatkan imej DBP sebagai sebuah agensi yang mengalakkan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu melalui kegiatan kebahasaan, di samping memperkenalkan puisi seni coret kepada para pelajar dengan memberikan pemahaman berkaitan seni tersebut dan mendedahkan kemahiran yang diperoleh boleh dijadikan sebagai kerjaya.
Dalam ucapan penghargaannya semasa majlis penutupan, Pengarah DBPCSar, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai berkata,
Menekankan kemahiran berfikir aras tinggi bukan sahaja memfokuskan kepada kemahiran intelektual, tetapi penekanan terhadap kreativiti dan juga spiritual yang perlulah digabungkan bersama-sama bagi membentuk generasi yang hebat.
Beliau turut menggalakkan pelajar berkarya melalui kemahiran berbahasa dan emosi sekali gus dapat mencungkil bakat dalam bidang kesenian.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini terbuka kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Zon Samarahan dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 30 orang pelajar, antaranya termasuklah pelajar dari UiTM Cawangan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Tun Abdul Razak.
Turut hadir dalam majlis penutupan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Madya Dr. Saimi Bujang; Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGK, Tun Abdul Razak Dr. Sara Beden; Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, Dr. Noratikah Mohd Ashari dan Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Sarawak, Puan Nur Afeqah Abdullah,.