Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSibu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak melalui kerjasama Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Swasta Cina Sarawak telah menganjurkan Program Bimbingan Bicara Berirama dan Penglipur Lara Moden pada 14 dan 15 Jun 2024 bertempat di Wisma Huawen, Du Zhong, Sibu.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada para pelajar bagi mendalami konsep Bicara Berirama dan Penglipur Lara Moden sebagai persediaan untuk menyertai Festival Bahasa dan Sastera (FBS) 2024 pada bulan Julai nanti.
Munsyi Dewan (Sastera), Encik Ja’afar Hamdan sebagai pembimbing dalam program ini banyak berkongsi hal berkaitan persiapan dan adab di atas pentas semasa membuat persembahan.
Tegasnya, persembahan ujaran, keseragaman, watak dan kreativiti perlu diutamakan bagi sesebuah pasukan bicara berirama semasa dalam pertandingan mahupun persembahan.
Tambah beliau, kesesuaian, kepelbagaian dan keselarasan suara dan gerak yang bermakna amat dititikberatkan dalam penilaian panel juri semasa pertandingan dan akan mempengaruhi markah peserta.
Sebanyak sembilan buah sekolah menengah Cina swasta di Sibu, Kuching dan Miri turut menghadiri program bimbingan yang berlangsung selama dua hari tersebut.