Diterbitkan pada 6 Jun 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Aimi Fazlah Mohamed Ramli

Kuala Lumpur – Di sebalik lautan buku, terselit ruang kecil yang memaparkan bahan pembelajaran digital myGuru yang dibangunkan khusus untuk kegunaan murid tahun satu hingga tingkatan lima sebagai inisiatif Learning Port Sdn. Bhd. dalam menarik minat pelajar terhadap pelajaran.

Seiring dengan kemajuan teknologi masa kini, konsep penyampaian menerusi medium video animasi dan latihan interaktif berbentuk permainan video diharap dapat membantu menarik kembali minat pelajar untuk menjalani pembelajaran dengan lebih santai tetapi berkesan. Malah, penggunaan bahan pembelajaran digital ini juga dapat memudahkan guru-guru dalam mengendalikan sesi pengajaran di dalam kelas.

Para pengunjung yang hadir ke pesta buku kali ini dilihat tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri bahan pembelajaran digital sepanjang dua hari pameran dan demonstrasi ini berlangsung di reruai 205.

Kedudukan reruai yang strategik iaitu berhampiran dengan pentas utama merupakan suatu bonus apabila reruai ini turut dikunjungi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 pada 30 Mei yang lalu.

Pihak Learning Port Sdn. Bhd. amat berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas peluang yang diberikan untuk memperkenalkan bahan pembelajaran digital myGuru di pesta buku kali ini.

Semoga usaha yang dijalankan dapat memberikan manfaat kepada para pelajar dan guru sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi