Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu,” pesta buku kali ini membawa tuah buat adik Ainul Masyirah Hasnizam dari Madrasah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, Perlis apabila si cilik ini berpeluang menemu ramah Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, (SSTP) Perlis, Puan Julie Mozianda Ahamat, program tersebut diberikan nama sebagai PODCAST SSTP JPN PERLIS.
Melalui program tersebut SSTP diberikan ruang untuk mengetengahkan pengisian program yang lebih kepada aspek digital, pendidikan, kewartawanan dan segala hal yang berkaitan dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Moderator yang dipilih juga para di negeri Perlis yang telah menjalani sesi uji bakat.
Pada 30 Mei yang lalu, selepas Majlis Perasmian PBAKL 2024, YAB Dato’ Seri Anwar yang melawat ke setiap reruai di PBAKL, berbesar hati menerima pelawaan adik Ainul Masyirah untuk ditemu ramah walaupun tiada dalam perancangan awal beliau.
Peluang sebegini tidak dilepaskan adik Ainul untuk bertanya tentang perkembangan PBAKL pada kali ini kepada YAB Perdana Menteri.
Ternyata program seperti pesta buku ini bukan sahaja memberikan informasi penulisan dan pembacaan kepada generasi muda, tetapi juga turut melatih mereka untuk menjadi lebih berani dan yakin untuk berinteraksi dengan orang ramai di hadapan kamera.
Keberanian adik Ainul Masyirah yang berjaya menarik perhatian YAB Perdana Menteri merupakan satu kejayaan buat KPM dan JPN Perlis kerana mampu mencungkil bakat anak muda hari ini untuk diketengahkan.