Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim– Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan majlis pelancaran buku Antologi Sajak Palestin Suara dari Doa pada 1 Jun 2024 bertempat di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri ahli Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Profesor Azhar Wahid, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari, Profesor Madya Dr. Gahzali Din dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2023/2024, saudara Mohd Amirul Hisyam serta 60 orang peserta yang rata-rata merupakan mahasiswa UPSI.
Matlamat bagi penghasilan buku Suara dari Doa ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dalam diri mahasiswa mengenai krisis pergolakan dan kekejaman yang berlaku di sana.
Sebanyak 64 buah sajak yang unik dikumpulkan oleh Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif UPSI berdasarkan pemilihan tema yang membuktikan solidariti mereka terhadap penduduk Palestin.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Presiden Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Professor Dr. Azhar Wahid dengan persembahan deklamasi sajak “Cahaya Palestin” dan persembahan tiga buah sajak terbaik yang dideklamasikan oleh mahasiswa.
Sumbangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan majlis pelancaran buku ini amat dihargai hasil usahanya dalam memberikan kesedaran isu berkaitan Palestin kepada masyarakat berkenaan situasi yang berlaku di sana.