Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Produksi Buka Panggung 2024 yang menampilkan lima jenis teater tradisional dengan 10 kali pementasan bakal menemui penonton pada 2 Jun ini di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA, Rosman Ishak berkata bahawa produksi Buka Panggung 2024: Dari Kelas ke Pentas ini merupakan persembahan penilaian akhir bagi kursus wajib akademik peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang terdiri daripada kursus Wayang Kulit, Makyung, Bangsawan, Randai dan Mek Mulung.
“Pembelajaran dan pengajaran ini melibatkan pelajar dari semua fakulti di ASWARA dan ini merupakan satu proses yang unik dan mempunyai estetikanya yang tersendiri,” katanya ketika ditemui Tunas Cipta pada Jumaat.
Rosman juga berkata bahawa pementasan dengan 10 buah persembahan teater tradisional ini juga bukan sahaja dapat membentuk apresiasi dalam kalangan pelajar, malah dapat membina pengalaman dan implementasi terhadap proses pengajaran sesuatu kesenian tradisional secara lebih holistik.
“Objektif bagi penilaian produksi pelajar ini untuk memupuk integrasi kerja secara berkumpulan melalui pelbagai disiplin ilmu seni, mewujudkan pengurusan budaya kerja secara lebih terarah dan sistematik, membuka minda dan mengasah pemikiran pelajar dan khalayak untuk berfikir dengan lebih kreatif serta menggalakkan apresiasi seni tradisional bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah juga masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan ASWARA dan sejajar dengan motonya “Melangkah ke Hadapan Bersama Tradisi”, PuTRA ASWARA mengambil inisiatif untuk mengangkat teater tradisional yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai warisan tidak ketara iaitu Makyung pada tahun 2008 dan Mek Mulung pada tahun 2023.
“Tidak ketinggalan juga teater tradisional lain seperti Wayang Kulit, Bangsawan dan Randai yang dirangkumkan menerusi program yang sangat bermakna ini,” katanya.
Menurut Rosman, program tahunan yang menjadi persembahan paling dinantikan saban tahun ini telah melalui proses latihan selama 14 minggu pembelajaran berasaskan peranan dan penjurusan individual dalam produksi.
“Proses ini merangkumi aspek pengurusan produksi, sinografi, aspek persembahan (lakonan, koreografi gerak dan muzik) yang akhirnya digabungkan secara holistik melalui proses pengerjaan sesebuah produksi. Justeru, tanda aras bagi setiap pelajar dalam kesemua persembahan kali ini boleh dilihat apabila setiap daripada mereka mampu mengangkat teknik, nilai dan estetika kemahiran yang dipelajari (dalam semua aspek) menerusi pembelajaran kelas ke dunia pentas; dalam menyampaikan makna-makna mesej (dalam konteks nilai tradisional) kepada khalayak,” katanya.
Bercakap mengenai cabaran yang dihadapi, beliau berkata dalam menjayakan satu-satu produksi, tentunya terdapat beberapa kerumitan yang tidak dapat dielakkan.
“Hal-hal berkaitan faktor masa, proses pemahaman dan kematangan pelajar mungkin menjadi cabaran bagi setiap pasukan pensyarah yang mengendalikan setiap produksi—lebih-lebih lagi produksi ini menjurus khusus kepada kesenian tradisional. Walau bagaimanapun, berasaskan prinsip work through the process, aspek kawalan, kepakaran bidang setiap pensyarah dan disiplin seni persembahan yang diterapkan kepada setiap pelajar, setiap produksi dapat dilaksanakan berlandaskan proses pengajaran dan pembelajaran,” jelasnya.
10 buah pementasan ini bakal menemui penonton bermula 2 hingga 13 Jun, 8.30 malam di Panggung Eksperimen, ASWARA dengan bayaran tiket sebanyak RM10 (pelajar) dan RM20 (orang awam). Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan, boleh hubungi PuTRA di talian 03-27786112/6065.