Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan sebanyak 48 buah buku judul ilmiah dan judul umum dalam pelbagai bidang bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-41.
Buku-buku yang dilancarkan petang tadi terdiri daripada 10 buah buku bidang Agama, 12 buah buku bidang Sains dan Teknologi, 10 buah buku bidang Sains Kemanusiaan dan 16 buah buku bidang Sains Sosial, dan kesemuanya merupakan hasil terbitan DBP.
Menurut Presiden Akademi Profesor Malaysia, YBrs. Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman, penerbitan 48 buah buku ini demi menyahut dan memenuhi hasrat penulis dalam usaha menghasilkan karya berkualiti buat bacaan masyarakat.
“Perkara ini sekali gus dilihat bersesuaian dengan tema PBAKL 2024, iaitu ‘Malaysia Membaca’,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Buku Ilmiah dan Buku Umum Terbitan DBP, di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurut beliau lagi, hingga tahun 2022, purata membaca rakyat Malaysia masih rendah.
“Namun begitu, terdapat peningkatan bilangan buku yang dibaca pada tahun 2014, iaitu sebanyak 15 naskhah berbanding dengan dua naskhah buku pada tahun 2005,” ujarnya.
Kita perlu yakin, suatu hari nanti rakyat Malaysia akan menjadi rakyat yang membaca.

Tema PBAKL 2024 yang diangkat pada tahun ini telah direalisasikan oleh DBP melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti untuk mempromosikan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia agar budaya membaca ini dapat diperkukuh, sekali gus memperkasakan industri buku tempatan.
Program di bawah kelolaan Bahagian Buku Umum DBP ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Encik M. Azahari Edin.