Diterbitkan pada 29 Mei 2024, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Terdapat sembilan elemen penting dalam mencipta buku kanak-kanak yang menarik dan hebat”, jelas Encik Nor Azhar Ishak, ilustrator buku kanak-kanak dalam Forum Sastera Kanak-kanak sempena Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-13 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP, pada petang semalam.

Sembilan ciri tersebut ialah ilustrasi, watak, cerita yang menyentuh hati, unsur kecindan, mengandungi nilai pembelajaran dan bersifat informatif, mempunyai pola, rima dan pengulangan, plot, perbendaharaan kata, dan kebolehbacaan.

Kesemua ciri tersebut harus ada bagi menjadikan buku kanak-kanak tidak membosankan dan seronok dibaca.

Encik Nor Azhar Ishak, ilustrator buku kanak-kanak ketika memperkatakan tentang keunikan dan keistimewaan buku kanak-kanak yang menarik.

Ketika ditanya tentang cerita yang sesuai untuk buku kanak-kanak bergambar, beliau menyatakan bahawa sebenarnya semua jenis cerita sesuai dijadikan bahan bacaan untuk kanak-kanak.

Semua cerita sesuai untuk kanak-kanak, tetapi saya secara peribadi suka cerita yang agak langka (rare). Contohnya cerita-cerita yang berkaitan dengan suasana dan persekitaran kampung. Hal ini disebabkan kanak-kanak sekarang sudah tidak lagi merasai suasana tersebut. Apabila mereka membaca cerita yang sebegitu, maka boleh menarik minat mereka terhadap apa-apa yang tidak pernah dirasai dan dialami oleh mereka sendiri.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa individu yang terlibat dalam penghasilan buku kanak-kanak seperti penulis, ilustrator, pereka bentuk, dan editor perlu meneroka segala kemahiran baharu.

“Banyakkan membaca dalam pelbagai genre”, pesan Encik Nor Azhar Ishak kepada para penulis pemula cerita kanak-kanak.

Tambahnya, mereka juga harus memperbanyak bacaan pelbagai genre berkaitan dengan cerita kanak-kanak supaya teknik penceritaan menjadi lebih menarik dan mengujakan.

Penulis buku kanak-kanak juga perlu membuat penyelidikan dan memasukkan fakta yang tepat berkaitan dengan cerita yang ingin dipersembahkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi