Diterbitkan pada 27 Mei 2024, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala lumpur – “ Buku berkaitan dengan sains dan teknologi perlu sentiasa dikemas kini dan dipelbagaikan dalam bentuknya, seiring dengan kepesatan teknologi.”

Demikian intipati ucapan yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika melancarkan Siri Buku Saya Ingin Tahu Teknologi di reruai DBP, pada tengah hari tadi.

Dalam ucapan tersebut, beliau juga menyatakan jika diimbau zaman dahulu, Revolusi Industri sentiasa ada penemuan baru.

“Secara amnya, sains dan teknologi merujuk perubahan dalam penghasilan alat-alat yang memudahkan kehidupan manusia”

“Jika kita kembali ke masa lampau, apabila ahli sains menghasilkan penemuan baharu seperti tenaga elektrik, perkara ini telah mencetuskan pengeluaran produk secara besar-besaran hinggalah ke zaman sekarang”

“Oleh itu, kesan daripada penemuan tersebut menyebabkan sistem pembelajaran turut terkena tempias dan mengalami evolusi.”

Dr. Hazami Jahari berucap dan melancarkan produk baharu DBP.

Selari dengan perkembangan tersebut, Siri Buku Saya Ingin Tahu Teknologi terbitan DBP dengan kerjasama oleh para pensyarah daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hadir tepat pada waktunya.

Siri ini memperkenalkan teknologi kepada kanak-kanak dengan cara yang menyeronokkan, iaitu menggunakan watak kartun dan diselit dengan pengalaman yang menarik.

Terdahulu, terdapat lapan siri dalam terbitan ini, iaitu berkisarkan tentang pengalaman menggunakan periuk nasi elektrik, seterika, pengisar, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, cerek elektrik, pembakar roti dan pembersih vakum.

Menariknya, pada halaman akhir buku ini, kanak-kanak boleh melukis lapan produk yang diceritakan mengikut kreativiti sendiri.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi