Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor – Lebih daripada 100 peserta telah menghadiri Bengkel Pengkaryaan dan Penyampaian: Syair dan Gurindam pada 7 Oktober 2023 di Tanjung Piai, Resort, Pontian, Johor.
Para peserta terdiri daripada pelajar SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, Pontian; SMK Sri Kukup, Pontian; SMK Benut, Pontian; SMK Sri Tanjung, Pontian; SMA Annur, Pontian; SMK Tun Ismail, Batu Pahat dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. Selain itu, terdapat juga peserta dari Indonesia dan Brunei.
Para penceramah yang diundang untuk perkongsian ilmu bagi sesi gurindam ialah Haji Mohd Rosli Bakir (Munsyi Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka), Drs. H. Herman Zaruddin (Tanjung Pinang, Kepulauan Riau) dan Hj. Nazim Subari (Persatuan Penulis Johor).
Sementara itu, penceramah bagi sesi syair ialah Dr. Maskiah Masrom (Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim), Puan Winda Harniati (Guru Besar SMPN 1 Mempura Kabupaten, Siak, Riau) dan Hajah Zarina Saamah (penerima Anugerah Biduan Syair Negara oleh Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara dalam Festival Syair, Teater dan Seni Tradisi Antarabangsa Negara-negara ASEAN Kali ke-5 pada September 2022).
Moderator bagi sesi gurindam ialah Haji Hamzah Rahman Soriat, manakala untuk sesi syair ialah Encik Abd. Malik Md. Shah.
Selama hampir lima jam, para peserta berpeluang mendengar tentang sejarah, membuat latihan menulis serta mempelajari perihal penyampaian pelbagai irama syair dan gurindam.
Haji Mohd Rosli telah memperdengarkan irama Gurindam 12, manakala Hajah Zarina telah berkongsi beberapa panduan menulis syair yang berkualiti khususnya untuk pertandingan selain menyampaikan beberapa irama syair termasuklah Hiasan, Batu Belah, Dodoi dan Mayang.
Di samping itu, Puan Winda Harniati menunjukkan kepakaran dalam mendendangkan syair irama Melalak, Surat Kapal dan Suara Burung yang jarang-jarang didengar di Malaysia.

Pada sebelah petang pula, Sesi Diskusi Pengantarabangsaan dan Irama Puisi Tradisional telah diadakan. Ahli panel terdiri daripada Datuk Jasni Matlani, Tarmizi Rumahitam (Penerima Anugerah Budaya Indonesia, Batam), Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Haji Jawawi Ahmad (Ketua Dua ASTERAWANI, Brunei Darussalam). Moderator sesi diskusi ini ialah Haji Zulkarnain Ithnain.

Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah (Ketua Satu Persatuan Penulis Johor) dan Datuk Jasni Matlani (Presiden BAHASA) telah menyempurnakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah dan moderator.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat dan keinginan generasi muda untuk menulis syair dan gurindam, serta mengangkat semula kedudukan puisi tradisional sebagai genre penting dalam dunia persuratan Melayu secara tidak langsung di mata dunia.