Diterbitkan pada 5 Oktober 2023, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Hari Inovasi DBP 2023 telah berlangsung dengan jayanya semalam. Bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hari Inovasi DBP 2023 telah mengangkat tema utamanya, iaitu “Aspirasi MADANI Memacu Inovasi”.

Tema ini bertepatan dengan rukun ketiga yang terdapat dalam Malaysia MADANI, iaitu daya cipta yang bakal melahirkan karyawan DBP dengan minda kreatif dan kritis.

Kemeriahan majlis ini turut diserikan lagi dengan majlis penyampaian Anugerah Inovasi DBP 2023 yang melibatkan enam kategori hadiah utama, iaitu Anugerah Citra Sahabat DBP, Hadiah Pertandingan Mencipta Tema Hari Inovasi DBP, Anugerah Karyawan Inovatif DBP, Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Program DBP dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP.

Mohd Faizal Rus Rzerli bersama-sama bukunya yang menerima Anugerah Citra Karya DBP (Karya Kreatif).

Mohd Faizal Rus Rzerli yang bertugas sebagai Perancang Bahasa di Bahagian Multimedia, DBP telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Citra Karya DBP (Karya Kreatif) melalui bukunya yang berjudul Cerita Lulu dan Lala.

Ketika sidang editor e-Tunas Cipta menemu bualnya, Mohd Faizal melahirkan rasa syukur atas penganugerahan ini.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan rezeki yang tidak terjangka kepada saya. Pastinya saya berasa gembira dan terharu kerana ini merupakan pencalonan sulung melalui karya penulisan buku berilustrasi kanak-kanak.

Cerita Lulu dan Lala mengisahkan kehidupan dunia serangga, iaitu belalang dan kupu-kupu yang menjurus pada kitar hayat mereka. Selain itu, cerita ini turut menyelitkan fakta menarik tentang perbezaan antara kupu-kupu dengan rama-rama yang sering menjadi kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah golongan dewasa juga.

Cerita Lulu dan Lala terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertemakan sains sesuai untuk pembaca cilik.

Penulisan cerita yang bertemakan sains ini turut meletakkan nilai tambah tentang fakta menarik kupu-kupu dan rama-rama melalui kod QR yang boleh diakses oleh pembaca pada halaman akhir buku ini.

Apabila ditanya tentang perancangan beliau dalam bidang penulisan, tegas Mohd Faizal,

Sebenarnya dua buah buku saya dalam proses penerbitan. Insya-Allah sebuah buku akan diterbitkan pada penghujung tahun ini, iaitu Reka Cipta Mad dan Ani, manakala sebuah lagi pada tahun 2024, iaitu Lazatnya Makanan Malaysia. Pada masa hadapan, saya merancang untuk meneroka genre penulisan yang baru seperti skrip drama radio atau antologi sajak yang bertemakan sains.

Penghasilan karya yang bertemakan sains ini dipilih oleh Mohd Faizal kerana berpandangan bahawa kebanyakan murid sekarang kurang meminati mata pelajaran Sains. Alasan kerana susah untuk mempelajarinya.

Maka itu, beliau terpanggil untuk mendidik pelajar sambil berhibur melalui penulisan karya kreatif yang bertemakan sains kerana fenomena sains sentiasa dialami oleh kita dalam kehidupan harian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi