Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – HASDI sekali lagi menganjurkan Hadiah Sastera Darul Iman kali Keenam bertempat di Puteri Ballroom, Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu pada 23 September 2023 pada malam tadi dengan menampilkan 22 penerima anugerah pada tahun ini.
Hasil penganjuran HASDI VI yang konsisten hampir setiap tahun memperlihatkan keberanian dan kekuatan penulis muda dalam penghasilan karya yang berkualiti dalam dunia sastera tanah air.
Di sebalik kejayaan penulis muda dalam mengungguli hadiah sastera tempatan, kegusaran bahawa tiada pelapis baharu dalam arena sastera tempatan pada masa hadapan, tetap timbul dan menggusarkan, lebih-lebih lagi kehadiran pembaca muda dilihat sudah mula meningkat naik dan menginginkan karya baharu yang sesuai dengan selera mereka.

Walau bagaimanapun, editor Tunas Cipta sempat menemu bual dua penulis muda yang berjaya mencuri perhatian juri bagi HASDI VI pada tahun ini, dengan bertanya akan kekuatan penulis muda yang dilihat pada masa ini.
Muziru Idham, penerima hadiah penghargaan bagi tiga kategori berlainan, kategori Bahagian A: Buku (Perseorangan) Esei Sastera; Bahagian B: Eceran Puisi Remaja; dan Bahagian B: Eceran Puisi Umum berkongsi pandangan bahawa kekuatan penulis muda masa ini adalah pada kegelisahannya dalam meneroka hal-hal yang baharu. Jelasnya,
Kegelisahan dalam meneroka hal-hal yang baharu bagi membina gagasan mereka tersendiri yang tidak dibayangi oleh zaman penulis terdahulu, itulah kekuatan mereka. Mereka berani untuk bereksperimen dengan pengkaryaan dan melanggar konvensi serta membangunkan semangat zaman tersendiri yang menjadi identiti kepada generasi mereka. Oleh itu, perihal tersebut menjadikan setiap penulis muda ada keunikan dan identiti mereka tersendiri dalam pengkaryaan.
Selain itu, Zulaikha Adam yang juga merupakan penerima hadiah utama karya sastera bagi kategori Bahagian B: Eceran Cerpen berkata bahawa kekuatan penulis muda masa ini ialah mereka memiliki sifat keberanian luar biasa, mempunyai sensitiviti yang kuat, pengamatan yang tajam, daya imaginasi yang unggul dan daya kreatif yang jauh ke hadapan.

Maka, dapat disimpulkan bahawa kekuatan penulis muda kini didasari oleh sifar keberanian, perasaan ingin tahu, kegelisahan dan imaginasi yang tinggi serta daya fikir yang kreatif dan kritis dalam penghasilan karya yang berkualiti.