Diterbitkan pada 24 September 2023, 01:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Kelahiran penulis muda dalam arena sastera tanah air berjaya mencuri perhatian panel penilai apabila Siti Nurzulaikha Adam atau lebih mesra dikenali sebagai Zulaikha Adam terserlah dengan karyanya sehingga dinobatkan sebagai penerima hadiah utama karya sastera bagi kategori Bahagian B: Eceran Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Iman Kali Keenam (HASDI VI) 2023.

Bertempat di Puteri Ballroom Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu pada 23 September 2023, Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI IV) telah berlangsung dengan jayanya dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Haji Hishamuddin Abdul Karim yang mewakili Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi majlis itu, empat karya nukilan Zulaikha Adam telah dinobatkan sebagai penerima anugerah penghargaan bagi dua kategori utama HASDI IV 2023, dan tiga daripadanya berjaya merangkul anugerah bagi kategori Bahagian B: Eceran Cerpen Remaja, dan sebuah lagi karya dirangkul sebagai hadiah penghargaan bagi kategori Bahagian B: Eceran Cerpen Umum pada tahun ini.

Zulaikha Adam dinobatkan sebagai penerima hadiah utama karya sastera bagi kategori Bahagian B: Eceran Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Iman.

Wajah baharu bagi penerima HASDI VI tahun ini, Zulaikha Adam turut berkongsi perasaan beliau apabila karyanya dipilih sebagai penerima hadiah utama Bahagian B: Karya Eceran Cerpen Remaja 2023. Kongsinya,

Menerima anugerah bukan bermakna hebat. Menerima anugerah bukan bermakna saya menang. Menerima anugerah lebih kepada kebahagiaan kerana insan lain membaca karya saya, membongkar akar kemanusiaan di dasar kata-kata, menaakul dengan jiwa dan merenung dengan sarat makna.

Dengan mengangkat tema semangat patriotik dalam kalangan generasi muda, tidak hairanlah cerpen “Debu-debu Ogos”, karya Zulaikha Adam terbitan Berita Harian, 28 Ogos 2022 ini menjadi pilihan juri bagi kategori eceren cerpen remaja.

Barisan penerima Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI IV) 2023 yang telah berlangsung pada 23 September 2023 bertempat di Puteri Ballroom Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu.

Selain itu, A. Muziru Idham seorang lagi penulis muda yang turut menerima hadiah penghargaan bagi tiga kategori anugerah berlainan, iaitu kategori Bahagian A: Buku (Perseorangan) Esei Sastera; Bahagian B: Eceran Puisi Remaja; dan Bahagian B: Eceran Puisi Umum.  Penulis muda ini menampilkan kekuatan karyanya melalui idea dan bakatnya yang terserlah dan berkembang dengan membuka daya taakulan kepada khalayak secara lebih meluas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi