Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMiri – Bengkel Pemerkasaan Forum Remaja merupakan satu daripada program yang memberikan pemahaman tentang konsep forum dengan memperkasakan kaedah berforum.
Bengkel yang diadakan pada 3 Julai 2023, bertempat di Hotel Nur, Miri ini adalah bersempena dengan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Peringkat Negeri Sarawak) yang akan diadakan di bandar raya Miri.

Bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak ini diadakan adalah bertujuan untuk membantu guru pembimbing dan pelajar mendalami elemen penilaian dalam berforum.
Selain itu, bengkel ini juga menyasarkan untuk membentuk kumpulan berforum yang versatil, berwibawa dan hebat dapat dilahirkan di Sarawak.
Bengkel ini dikendalikan oleh empat orang pegawai dari DBP Cawangan Sarawak. Mereka terdiri daripada Encik Ja’afar Haji Hamdan, Puan Stephanie Lenya Chaong, Puan Askhairunisa Alwi dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri.

Sebanyak 10 buah sekolah telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada guru pembimbing dan peserta pasukan sekolah menengah dari pelbagai bahagian di Sarawak yang telah layak pada peringkat separuh akhir Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Peringkat Negeri Sarawak).

Dalam bengkel tersebut, Encik Ja’afar Haji Hamdan menyatakan bahawa teknik berforum merupakan satu daripada aktiviti lisan yang sesuai untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara langsung serta meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional.
Maka itu, beliau bersama tiga orang pembimbing telah memberikan pendedahan tentang teknik perbincangan berbentuk formal yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan memurnikan pendapat tentang sesuatu tajuk.

Setiap pembimbing telah diberi tanggungjawab untuk memberikan penekanan tentang cara komunikasi, penghuraian isi dalam forum, cara pengendalian forum yang berkesan, aspek penggunaan bahasa serta sebutan yang betul dan pemilihan diksi yang sesuai.
Keterujaan guru pembimbing dan pelajar jelas terpampang dan memberikan kesedaran kepada mereka untuk menerapkan ilmu yang telah dikongsi oleh pembimbing untuk diketengahkan dalam pertandingan forum.
Bengkel tersebut turut menjadi medan kepada guru pembimbing dan pelajar memberikan pendapat serta bertanyakan pelbagai soalan berkaitan dengan forum, terutama Pertandingan Forum Remaja.
Perbincangan dua hala antara pembimbing dengan peserta bengkel telah menghasilkan sesuatu yang baharu serta memberikan input berguna untuk diserapkan dalam Pertandingan Forum Remaja.
Bengkel ini bukan sahaja memberikan pendedahan tentang teknik berforum, tetapi dapat mempertingkatkan keyakinan dan kreativiti pelajar dalam mengendalikan forum dengan gaya yang lebih teratur dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi.