Oleh Nazrul Aziz
15 Mei 2023, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Persembahan deklamasi sajak berjudul “Pahlawan Wira Merah” yang disampaikan oleh Penguasa Bomba Seri Tuti Hadayani Salleh dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka dan Pegawai Bomba Mohd Fauzi Jamikah dari JBPM Negeri Sabah menyebabkan suasana hiba di Dataran Pahlawan Melaka.

Seri Tuti Hadayani Salleh dari JBPM Negeri Melaka membuat persembahan deklamasi sajak.

Lebih-lebih lagi apabila dua orang anak wira merah yang terkorban semasa menjalankan operasi menyelamat di Sungai Putat Melaka, iaitu Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh membuat kemunculan pada penghujung persembahan.

Sajak ini turut mengenang kembali wira merah yang telah gugur sewaktu menjalankan tugas sepertimana bait sajak berikut.

dan di medan ini jualah satu per satu wira merah gugur demi negara

perginya enam pahlawan celoreng merah

yang lemas di lombong Putra Perdana

perginya Mohammad Adib yang

tersungkur rebah tatkala menabur bakti

perginya Abu Zarin yang berjiwa kental

meninggalkan gelaran raja haiwan berbisa

dan perginya Mohd Diya Che Jusoh

saat tertawan arus Sungai Putat Melaka yang menduga.

Menurut Mohd Fauzi, sajak ini sangat dekat di hati beliau dan memberikan kesan yang mendalam tatkala mendeklamasikannya. Jerih perih anggota bomba dalam menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar sangat perlu dihargai dan dipandang mulia oleh semua pihak.

Tambah Mohd Fauzi lagi, pengorbanan dan perjuangan yang tiada henti telah dilakukan oleh anggota bomba terdahulu sepanjang menabur khidmat bakti walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Hal ini sangat menyentuh hati dan beliau menzahirkannya sewaktu mendeklamasikan sajak tersebut.

Sementara itu, Seri Tuti menyatakan bahawa peluang untuk mendeklamasikan sajak pada kali ini merupakan peluang yang cukup bermakna baginya. Beliau yang bertugas di Cawangan Pendakwaan JBPM Negeri Melaka menganggap bahawa mendeklamasikan sajak ini cukup berat. Hal ini dikatakan demikian kerana dia harus memastikan penyampaian sajak ini dapat memberikan impak kepada pendengar.

Sajak ini turut memberikan penghargaan khas kepada aset hidup jabatan bomba, iaitu anjing pengesan yang telah banyak membantu jabatan bomba dalam melaksanakan tugas mencari dan menyelamat.

Tidak dilupa jasa aset pengesan berharga

Yang turut sama mengiringi perjuangan wira merah

dengan gagah meredah paya dan rimba

bersama mendaki gunung dan lembah

biarpun sehingga lelah menguji kudrat mereka

Anjing pengesan ini telah membantu jabatan bomba bukan hanya mencari mangsa hilang, malah turut membantu dalam mengenal pasti punca kebakaran.

Persembahan deklamasi sajak ini turut diiringi oleh persembahan khas pentomin yang dianggotai oleh pasukan khas JBPM, iaitu pasukan STORM dan juga daripada Unit Anjing Pengesan.

Majlis Perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 telah disempurnakan oleh Yang Di-pertua Negeri Melaka, iaitu Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Rustam dan dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi JBPM, pihak kerajaan Negeri Melaka serta jemputan luar negara. Turut memeriahkan majlis adalah kehadiran rakyat Negeri Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.