14 Februari 2023, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kerajaan Negeri Selangor, Wanita Berdaya Selangor, Akademi Kepimpinan Wanita Selangor melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan penulisan kreatif melalui program Naskhah ‘Kita’. Pertandingan yang bertemakan perpaduan ini telah bermula pada 22 Januari 2023 dan berakhir pada 20 Februari 2023. Tujuan pertandingan ini adalah untuk menyuntik semangat kreatif sekali gus menyebarkan perpaduan melalui penerbitan karya penulis muda tempatan.

Pengarah dan Timbalan Pengarah Projek Naskhah ‘Kita’ bersiaran langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk memaklumkan kepada umum berkenaan pertandingan tersebut.

Menurut Pengarah Projek Pertandingan Naskhah ‘Kita’, iaitu Nur Atika Anisa’ Mohammad, penyertaan pertandingan tersebut boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan yang berkapasiti maksimum sebanyak dua orang. Walau bagaimanapun, beliau mengharapkan lebih banyak penyertaan berkumpulan yang berlainan etnik dalam pertandingan ini kerana secara tidak langsung penyertaan tersebut menggambarkan tema pertandingan ini, iaitu perpaduan. Tambahan pula, gabungan dan perkongsian idea daripada pelbagai kaum boleh melahirkan hasil yang lebih menarik. Tambahnya,

Kami menerima penyertaan seperti cerpen, novel dan puisi. Menariknya, kami juga mewujudkan kategori tambahan yang mana kita ingin penulisan kreatif seperti lukisan yang dibukukan dan karya asli yang tidak diplagiat di mana-mana.

Beliau juga berkata bahawa pertandingan tersebut akan memberikan keutamaan kepada penyertaan kali pertama, iaitu karya kreatif yang tidak pernah diterbitkan di mana-mana penerbitan sebelum ini.

Menurut Timbalan Pengarah Projek Pertandingan Naskhah ‘Kita’ pula, Suhaila Abdul Rashid, pertandingan ini terbuka kepada masyarakat Malaysia yang berusia dari 12 hingga 35 tahun dan terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori pertama dari 12 hingga 25 tahun dan kategori kedua 16 hingga 35 tahun.

Maklumat lanjut Pertandingan Naskhah ‘Kita’

Pemenang tempat pertama berpeluang memenangi hadiah bernilai RM1000, manakala tempat kedua pula memperoleh RM500 dan tempat ketiga pula bakal memenangi baucar tunai bernilai RM300. Sementara 12 pemenang sagu hati akan menerima baucar tunai RM100. Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh diperoleh dengan melayari laman sosial Facebook Naskhah ‘Kita’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.